23 April 2026: Program World QuranHour 1447H peringkat Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah diadakan pada 11 Mac 2026 bersamaan 21 Ramadan 1447H (Rabu) bertempat di Library Community Engagement (LCE), PTAR. Program yang berlangsung dari jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang ini dianjurkan sebagai menyokong inisiatif global World #QuranHour yang bertemakan “Ummah Ikhlas: Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia” dengan fokus kepada penghayatan Surah Al-Muzzammil daripada Juzuk 29 Al-Quran.
Program ini telah dipimpin oleh Encik Mohamad Zulfikri bin Abdul Jalil dari Seksyen Korporat dan Kolaborasi PTAR bersama Encik Akhimulah bin Azmi serta disertai oleh warga PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Sepanjang program berlangsung, para peserta bersama-sama meluangkan masa untuk membaca, memahami dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran dalam suasana yang penuh penghayatan dan ketenangan.
Melalui sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil, peserta didedahkan dengan pelbagai pengajaran penting antaranya keutamaan melaksanakan qiamullail sebagai medium pengukuhan rohani serta keperluan untuk sentiasa mengingati dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan. Penganjuran program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mentadabbur Al-Quran dalam kalangan warga universiti seterusnya memperkukuh nilai spiritual serta membentuk peribadi yang berakhlak dan berintegriti selaras dengan aspirasi universiti.







Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar