Bertarikh 13 April 2026, PTAR Kejuruteraan dengan kerjasama Pusat Darah Negara telah menganjurkan program Derma Darah @PTAR Kejuruteraan bertempat di Aras 5, PTAR Kejuruteraan, Menara 2, Kompleks Kejuruteraan, UiTM Shah Alam. Daripada sejumlah 70 warga yang mendaftar, Pusat Darah Negara telah berjaya mengumpulkan sebanyak 46 beg darah.
Program derma darah merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang amat penting dalam usaha menyelamatkan nyawa. Program ini biasanya dianjurkan badan kerajaan dan swasta bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan. Program ini turut menyokong SDG 3 iaitu “Good Health & Well Being yang mana darah didermakan amat diperlukan terutamanya bagi pesakit yang menjalani pembedahan, mangsa kemalangan serta mereka yang menghidap penyakit kronik.
Selain itu, program derma darah juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah secara berkala. Ramai individu masih kurang pendedahan atau berasa takut untuk menderma darah, sedangkan proses tersebut adalah selamat dan tidak memudaratkan kesihatan. Melalui program ini, orang ramai diberi penerangan yang jelas serta peluang untuk menyumbang kepada masyarakat secara langsung.
Kesimpulannya, program derma darah haruslah digalakkan dan disertai oleh semua lapisan masyarakat. Setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi peluang kedua kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong dan melibatkan diri dalam program seperti ini demi kesejahteraan sejagat.











