Program Literasi Maklumat bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Terengganu telah diadakan pada 24 September 2025 (Rabu) bertempat di aras atas Perpustakaan Tengku Anis (PTA) bermula jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Seramai 103 orang pelajar telah menyertai program ini.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peranan perpustakaan, kemudahan yang disediakan, serta teknik asas pencarian dan penggunaan maklumat yang berkesan. Selain itu, objektif program ini adalah untuk memupuk minat membaca dan budaya pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar, meningkatkan keupayaan mereka mencari, menilai dan menggunakan maklumat dengan beretika, serta memperkenalkan perkhidmatan dan sumber rujukan yang ditawarkan oleh perpustakaan universiti.
Taklimat bagi Modul Literasi Maklumat telah disampaikan oleh Puan Nordelina Zulkarnain, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Tengku Anis, bagi membantu para pelajar mengenali sumber rujukan, memahami etika penggunaan maklumat, dan meningkatkan kemahiran literasi maklumat mereka untuk menyokong pembelajaran di sekolah.





Kesimpulannya, program ini telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar tentang kepentingan literasi maklumat dalam proses pembelajaran. Melalui program ini juga, pelajar dapat mengenali fungsi perpustakaan sebagai pusat ilmu yang menyokong pembangunan akademik serta membina kemahiran maklumat yang bermanfaat untuk masa depan mereka.


Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang