1 Julai 2025, Selasa – Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menganjurkan Program Vitamin Ilmu: Infoxcel: Kuasai Literasi Maklumat & AI bertempat di Bilik Seminar PTA bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang. Program ini merupakan program kolaborasi bersama Unit Sumber & Teknologi Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTMCK yang disertai seramai 37 orang pelajar dan guru daripada sekolah menengah Daerah Pasir Puteh yang terpilih.
Objektif program ini dianjurkan adalah:
- Meningkatkan kefahaman peserta mengenai literasi maklumat dalam era digital.
- Memberi pendedahan tentang teknik pencarian maklumat berkesan menggunakan sumber akademik.
- Memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pembelajaran dan penyelidikan.
- Membantu peserta menilai kesahihan maklumat serta mengamalkan etika penggunaan maklumat.
Program dimulai dengan ucapan aluan daripada Timbalan Ketua Pustakawan PTA iaitu Puan Nordelina Zulkarnain dan diteruskan dengan sesi yang pertama iaitu Taklimat Modul Literasi Maklumat: Strategi Pencarian Maklumat Berkesan. Taklimat ini juga telah disampaikan oleh Puan Nordelina Zulkarnain yang memberi pendedahan menyeluruh kepada para peserta mengenai strategi dan kemahiran penting dalam pencarian maklumat yang berkesan. Sesi ini menekankan kepentingan literasi maklumat sebagai asas dalam menilai, memilih, dan menggunakan maklumat secara beretika.









Sesi kedua pula adalah Sesi Perkongsian: AI Sebagai Study Buddy dan Pengenalan Keselamatan Siber yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zuriani Ahmad Zukarnain, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer & Matematik UiTM Cawangan Kelantan. Sesi perkongsian ini telah memberi pendedahan berguna kepada para peserta mengenai dua komponen penting dalam era pembelajaran digital, iaitu penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara optimum sebagai alat sokongan pembelajaran, serta memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi bahaya dan risiko yang wujud dalam penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), terutamanya apabila digunakan tanpa pemahaman yang jelas atau kawalan etika.





Sesi seterusnya adalah lawatan berpandu ke sekitar perpustakaan dan ke Pameran Print with Nature yang merupakan program kolaborasi PTA bersama Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR) UiTMCK.








Program diakhiri dengan ucapan penutup daripada wakil PPD iaitu Encik Salahuddin Sidi, Penolong PPD, Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan (USTP) PPD Pasir Puteh dan sesi penyampaian cenderahati daripada pihak PPD kepada PTA.


Majoriti peserta memberikan maklum balas positif terhadap kandungan program terutamanya dalam membantu pencarian maklumat dan menggunakan AI dengan cara yang betul. Program ini berjaya mencapai objektif utamanya dalam memupuk kesedaran dan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan peserta. Penerapan unsur AI dalam pembelajaran juga memberi nilai tambah selaras dengan perkembangan teknologi semasa.


Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang