
Shah Alam, 27 Mei 2025 | 29 Zulkaedah 1446H – Seramai 93 orang pelajar Tingkatan Enam dari Majlis Pelajar Tingkatan Enam (MAPTE), Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan bersama guru pengiring telah mengadakan lawatan akademik ke Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam usaha memperluas horizon ilmu serta mengenali persekitaran pengajian tinggi.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program pendedahan awal pelajar kepada institusi pendidikan tinggi dan peranan perpustakaan akademik dalam membentuk masyarakat berilmu dan celik maklumat.
Antara pengisian utama lawatan tersebut ialah:

Sesi Speed Reading yang dikendalikan oleh Puan Siti Rohayu Mohd Yusof, bertujuan memperkenalkan teknik pembacaan pantas serta strategi pengurusan maklumat secara efisien kepada pelajar. Sesi ini turut mendapat sambutan hangat dan mencetus minat dalam kalangan pelajar terhadap pembacaan aktif.

Lawatan berpandu ke PTAR telah dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, Encik Ahamad Zuber, dengan kerjasama Puan Nurul Farihah, Ketua Unit Korporat dan Kolaborasi. Para pelajar diberi pendedahan mengenai fungsi perkhidmatan perpustakaan digital, akses sumber elektronik serta kemudahan terkini yang disediakan untuk menyokong keperluan akademik pelajar dan pensyarah.
Lawatan turut disambung ke Galeri Tun Abdul Razak (GTAR), di mana Puan Roszainatul Haizan berkongsi sejarah penubuhan UiTM dan evolusi institusi ini dalam memperkasakan pendidikan tinggi Bumiputera. Pendedahan ini memberi nilai tambah dalam memahami peranan universiti sebagai pemacu pembangunan negara.
Menurut wakil guru pengiring, lawatan ini memberi manfaat besar kepada para pelajar dalam menyediakan mereka menghadapi alam pengajian tinggi yang lebih mencabar serta memperluas pandangan mereka terhadap kemudahan dan sokongan pembelajaran yang ditawarkan oleh perpustakaan akademik.
Pihak PTAR berharap agar lawatan seumpama ini dapat diteruskan sebagai satu platform jaringan kerjasama antara institusi pendidikan menengah dan perpustakaan universiti dalam melahirkan generasi pelajar yang lebih bersedia, bermaklumat dan berdaya saing.