Transformasi Pembelajaran: iPad Pacu Pendidikan Digital di Sekolah Pulau Pinang

PERMATANG PAUH, 10 April 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah berjaya menjalin kerjasama strategik dengan pihak Switch Apple Malaysia dan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Pulau Pinang dalam menganjurkan Program Pemerkasaan Pendidikan Digital (BYOD) Menggunakan iPad Sekolah-sekolah Pulau Pinang. Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula 8 hingga 10 April 2025, bertempat di Library Community Engagement (LCE) PTAR UiTMCPP, telah berjaya mengumpulkan Guru Besar dan Guru ICT dari Sekolah Kebangsaan seluruh daerah di Pulau Pinang.

Para peserta aktif dan bersemangat dalam meneroka potensi penggunaan iPad sebagai medium yang inovatif dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Pelbagai sesi interaktif dan perkongsian amalan terbaik telah diadakan bagi membekalkan para pendidik dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dalam mengintegrasikan teknologi Apple ke dalam sesi PdP mereka.

Kerjasama yang terjalin ini dilihat amat bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital negara, khususnya Teras 2: Pendidik Kompeten Digital, Teras 3: Budaya Kepimpinan Digital Berwawasan, Teras 5: Kandungan Digital Berkualiti, serta Teras ke-6: Rakan Strategik yang komited. Inisiatif ini membuktikan komitmen PTAR UiTMCPP, Switch Apple Malaysia, dan SSTP Pulau Pinang dalam memacu transformasi digital dalam sektor pendidikan negeri.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply