Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu telah dijemput sebagai juri jemputan oleh wakil Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, bagi sesi Pertandingan Tokoh NILAM Guru Negeri Terengganu 2022 pada 31 Mac 2022, Khamis yang lalu. Selain Perpustakaan UiTM Cawangan Terengganu yang diwakili oleh Cik Asmahani Abdullah (Pustakawan Kanan), panel juri lain yang dijemput pada pertandingan ini ialah dari Perpustakaan Politeknik Kuala Terengganu, dan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
NILAM merupakan singkatan kepada Nadi Ilmu Amalan Membaca yang merupakan program yang dianjurkan sejak 1998 di peringkat sekolah melibatkan kategori pelajar dan guru.
Seramai tujuh orang finalis guru NILAM yang bertanding telah berkongsi resensi buku yang dibaca di hadapan tiga orang juri yang hadir melalui platform Google Meet, dan diakhiri dengan sesi soal jawab bersama panel juri. Mereka ini telah disaring di peringkat daerah seluruh negeri Terengganu sebelum bertanding. Keputusan akhir seterusnya akan diputuskan oleh pihak urusetia dan akan diumumkan kelak dalam majlis rasmi di peringkat negeri.
Semoga kerjasama strategik seperti ini dapat memartabatkan pembudayaan membaca di kalangan komuniti setempat.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan