2 Disember 2024, Isnin – Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah dengan kerjasama PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah mengadakan Program syarahan Malaysia Madani: Tekad Perjuangan Bersama di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah. Syarahan ini disampaikan oleh YBhg Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, yang juga seorang tokoh terkemuka dalam bidang sosial dan pendidikan di Malaysia.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Hj Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka, yang memberikan kata-kata aluan, Encik Mior Hishamuddin Ariffin, Timbalan Pendaftar Kanan, UiTM Cawangan Melaka Encik Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Melaka serta kira-kira 80 orang pelajar yang menunjukkan minat yang tinggi terhadap topik tersebut.
YBhg Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub dalam syarahannya menekankan kepentingan Malaysia Madani sebagai sebuah konsep yang mengutamakan pembangunan sosioekonomi yang adil dan inklusif, berpaksikan kepada nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. Beliau juga berkongsi pandangan tentang bagaimana pendidikan, inovasi, dan perpaduan dapat menjadi asas utama untuk membawa negara menuju kemakmuran yang lebih lestari.
Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi, dalam ucapannya juga menegaskan bahawa syarahan ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperluaskan pengetahuan dan perspektif mereka, terutamanya dalam memahami aspirasi negara melalui konsep Malaysia Madani.
Program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada para pelajar yang hadir, dan diharapkan ia dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global.
Sekitar kata alu-aluan Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi bin Hj Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka
Sekitar syarahan disampaikan oleh YBhg Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah UiTM
Sekitar program sedang dijalankan
Ditulis oleh : Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka