Pada 3 dan 4 September 2024, bertempat di ruang Library Community Engagement, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah diadakan Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail kepada Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) UiTM Cawangan Pulau Pinang, Cawangan Kedah dan Cawangan Perlis. Seramai 70 orang pembantu tadbir rekod jabatan daripada ketiga-tiga cawangan UiTM telah mengikuti bengkel yang berlangsung selama dua hari ini.
Antara objektif bengkel ini dilaksanakan ialah untuk memberi kefahaman kepada peserta berkenaan sistem klasifikasi baharu yang akan dilaksanakan ke seluruh sistem UiTM. Selain itu, bengkel ini juga diadakan untuk menyediakan dan membangunkan satu kerangka klasifikasi fail baharu yang melibatkan semua PTJ UiTM Cawangan Pulau Pinang, Cawangan Kedah dan Cawangan Perlis serta membuat pemetaan semula nombor klasifikasi fail yang sedia ada dengan sistem klasifikasi fail yang baharu. Ia juga diharapkan dapat membantu semua pembantu tadbir yang terlibat untuk menyusun, menjelas dan menghubung kait klasifikasi fail sedia ada dengan klasifikasi fail yang baharu.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Puan Azniza binti Mohamad Nor, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Perkhidmatan Rekod, Bahagian Arkib Universiti, PTAR Shah Alam. Selain memberi penjelasan tentang klasifikasi baharu yang akan dilaksanakan oleh UiTM, beliau juga turut menjawab soalan-soalan para peserta dan memberi bantuan dalam tugasan yang telah diberikan kepada para peserta.
Bengkel dua hari ini telah diakhiri pada hari kedua dengan penyerahan cenderahati kepada penceramah jemputan dan sesi bergambar beramai-ramai bersama para peserta.
Disediakan oleh : Rafidah binti Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan