Program Khidmat Bantu di SK Hamzah Machang Bersama Perpustakaan Tengku Anis

Pada 2 Mei 2024 (Khamis), Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Machang telah mengadakan Program Khidmat Bantu di SK Hamzah Machang setelah dimohon oleh pihak Pusat Sumber Sekolah tersebut untuk bekerjasama bersama PTA dalam perkongsian ilmu dalam bidang pengurusan perpustakaan dan juga motivasi kepada para murid sekolah.

Program ini dilakukan bertempat di Dewan Ibnu Rusyd SK Hamzah bermula 9:00 pagi sehingga 1:00 tengah hari yang melibatkan seramai 380 orang murid tahap 2 sahaja (darjah 4-6). Antara objektif program khidmat bantu ini adalah untuk memberikan pendedahan dan pendekatan yang lebih luas kepada murid dalam motivasi diri, memberi peluang untuk menimba ilmu pengetahuan dalam melahirkan murid yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif serta memantapkan disiplin bagi pengawas pusat sumber sekolah.

Antara pengisian program khidmat bantu yang telah dijalankan adalah:

• Sesi Perkongsian Bersama Pengawas PSS: Bengkel Pemantapan Pengawas PSS & Aktiviti Roda Impian

Sesi perkongsian dan pemantapan bersama pengawas PSS telah dikendalikan oleh Puan Norfitriah Mat Seman (Pustakawan Kanan) yang bertujuan untuk memberi pendedahan, berkongsi pengalaman dan memantapkan kepimpinan dalam bidang tugas masing-masing dalam pengurusan bidang pengawas terutama sekali dalam pengurusan pusat sumber sekolah tersebut supaya lebih efektif dan efisien.

Program ini diteruskan lagi dengan aktiviti roda impian yang mana murid yang terpilih secara rawak akan memutarkan roda impian yang mengandungi beberapa tajuk umum bagi soalan yang mereka perlu jawab yang bertujuan untuk menguji minda dan pengetahuan umum murid-murid.

  • Resensi Buku/Book Review

Turut diadakan aktiviti resensi buku yang melibatkan seramai 4 orang murid dan seorang guru sekolah tersebut yang dikendalikan oleh Puan Nordelina Zulkarnain (Pustakawan Kanan). Objektif aktiviti ini adalah untuk memupuk tabiat amalan membaca dalam kalangan murid serta guru di samping meningkatkan keyakinan mereka untuk bercakap di hadapan.

Program ini diakhiri dengan ucapan daripada guru besar sekolah, ucapan penutup daripada wakil PTA iaitu Puan Alina Hussein (Timbalan Ketua Pustakawan), sesi menandatangani perjanjian rakan strategik bersama sekolah atas dasar perkongsian ilmu dalam pengurusan pusat sumber, penyerahan simbolik wakaf buku dan sesi penyampaian cenderahati.

Disediakan oleh: Cik Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply