Program Kayuhan Ambang Merdeka 2023

Sempena sambutan hari kebangsaan 2023 peringkat UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT), Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun telah menganjurkan Program Kayuhan Ambang Merdeka 2023 yang diadakan pada 21 Ogos 2023, Ahad. Penyertaan program ini terbuka kepada warga UiTMCT dan telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Rektor UiTMCT. Pelbagai ragam peserta dapat dilihat dengan penyertaan seramai lebih 50 orang peserta yang hadir bersama pakaian dan basikal yang dihias indah bertemakan bulan kemerdekaan Malaysia.

Antara objektif pelaksanaan program ini ialah untuk:

  • mewujudkan semangat patriotik dan semangat nasionalisme dalam diri setiap staf dan warga UiTM Cawangan Terengganu sempena bulan kemerdekaan.
  • memupuk dan menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui aktiviti yang dijalankan di sekitar kampus UiTM Cawangan Terengganu.
  • mengeratkan hubungan silaturahim antara staf perpustakaan antara ketiga-tiga kampus UiTM Cawangan Terengganu.

Program kayuhan basikal santai ini bermula seawal jam 8.15 pagi dengan pendaftaran peserta, minum pagi, dan dikuti dengan senaman pagi yang dikendalikan oleh En. Nik Ahmad Kamal Nik Wadi, Pembantu Pustakawan. Taklimat keselamatan turut diberikan bagi melancarkan program. Laluan kayuhan basikal ini adalah bermula di hadapan bangunan perpustakaan melalui pintu masuk utama Pos A UiTMCT hingga ke Kelab Golf Dungun, masuk semula ke UiTMCT melalui pintu masuk Pos B, dan berakhir di hadapan bangunan perpustakaan. Laluan kedua bermula di bangunan perpustakaan ke Kolej Gemia dan Kolej Redang dan berakhir di bangunan perpustakaan. Kayuhan ini diiringi oleh pasukan kawalan keselamatan Polis Bantuan UiTMCT.

Selain persegaran ringan, turut disediakan kepada semua peserta ialah e-sijil dan jam latihan staf UiTM bagi menggalakkan penyertaan. Di samping itu, bagi menghargai peserta paling memberi kerjasama dengan tema program, Tuan Mustaffar Saleh, Penolong Pegawai Keselamatan UiTMCT, telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Peserta Terpaling Merdeka UiTMCT.

Keseluruhan program ini mendapat sambutan yang amat baik oleh semua pihak yang terlibat dan diharapkan ianya dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai peserta dan laluan kayuhan yang lebih mencabar.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Sumber gambar dari: Facebook Lensa UiTM Terengganu

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply