17 November 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Bengkel Latihan Sistem PERMATA, Laman Web Perpustakaan dan Cadangan Pembelian Buku pada 27 Ogos 2025 bertempat di Bilik IT 2 PTAR. Program ini secara khusus menyasarkan penyertaan dalam kalangan pensyarah baharu UiTM Cawangan Perak bertujuan memberikan pendedahan komprehensif mengenai pelbagai perkhidmatan dan sistem perpustakaan digital yang disediakan. Inisiatif strategik ini diwujudkan bagi memastikan staf akademik dapat memanfaatkan sumber maklumat akademik yang ditawarkan secara optimum.
Bengkel ini dianjurkan dengan matlamat utama untuk memperkenalkan Sistem PERMATA sebagai sistem baru PTAR kepada staf akademik. Ia turut menggalakkan penggunaan sumber maklumat berharga seperti jurnal, e-buku, pangkalan data dan repositori institusi yang disediakan menerusi sistem perpustakaan. Selain memberikan panduan tentang cara menggunakan sistem secara efisien merangkumi pencarian bahan dan pinjaman digital, bengkel ini ini turut menekankan kepentingan penyertaan staf akademik dalam pembangunan koleksi. Peserta turut didedahkan mengenai platform sistematik dan mesra pengguna yang membolehkan mereka mencadangkan pembelian buku secara teratur selaras dengan keperluan program akademik dan penyelidikan terkini
Sesi latihan berinformasi ini telah disampaikan dengan jayanya oleh dua orang Pustakawan berpengalaman iaitu Puan Nur Aqilah Binti Russli, Pustakawan Kanan dan Puan Nur Dayana Binti Mohd Narwawi, Pustakawan. Kedua- dua penceramah telah berkongsi ilmu dan panduan praktikal mengenai fungsi- fungsi utama sistem PERMATA yang amat relevan dalam menyokong tugasan pengajaran dan penyelidikan pensyarah. Secara keseluruhan, program ini berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif pendedahan literasi maklumat yang ditetapkan.






Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar