MAJLIS PELANCARAN BUKU DIGITAL & BOOK TALK: TRAVELOG-JELAJAH KOTA MEDAN, INDONESIA

21 Oktober 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Digital dan Book Talk: Travelog – Jelajah Kota Medan, Indonesia (The International Summer Course Architecture USU 2023) pada 2 Julai 2025 bertempat di Library Community Engagement. Program ini merupakan salah satu inisiatif warga akademik bertujuan menghargai hasil penulisan akademik warga UiTM serta memperkasa budaya ilmu melalui perkongsian pengalaman dan pembelajaran antarabangsa. Penganjuran ini selaras dengan hasrat universiti dalam memperkukuh jaringan akademik dan mempromosikan penerbitan digital sebagai medium penyebaran ilmu yang dinamik dan mudah diakses.

Majlis ini menampilkan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada tiga orang penulis buku tersebut, iaitu Dr. Lim Seng Boon, Muhammad Ikhwan Hamzah dan Noradzsyiah Adzhar, yang terlibat secara langsung dalam program mobiliti antarbangsa The International Summer Course Architecture USU 2023 di Universiti Sumatera Utara (USU), Medan Indonesia. Para penulis berkongsi pengalaman perjalanan mereka dalam konteks pembelajaran senibina, warisan budaya serta pengalaman lintas budaya yang diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan kreatif dan ilmiah. Perkongsian ini bukan sahaja memperluas wacana ilmu dalam bidang seni bina tetapi juga menginspirasikan warga kampus untuk menjadikan pengalaman luar negara sebagai sumber pengetahuan dan kreativiti.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memperkukuh budaya penulisan akademik dan penghasilan karya digital berimpak tinggi di peringkat cawangan. Inisiati sebegini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform berterusan bagi menggalakkan penglibatan warga universit di bidang penerbitan buku.

Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Ahmad Azmil Reza PTAR Seri Iskandar

Leave a Reply