Program Kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) Bersama SMK Merbok: Bengkel Biblioterapi

Merbok, 1 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Bengkel Biblioterapi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok, Kedah. Program yang diadakan di dewan sekolah ini merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkenalkan kepada pelajar kaedah rawatan alternatif menggunakan bahan bacaan sebagai medium untuk membantu menguruskan emosi dan cabaran peribadi. Program ini juga selaras dengan usaha PSB dalam memperkukuh jalinan komuniti serta memperluas impak literasi maklumat dan kesedaran kesihatan mental di kalangan pelajar sekolah menengah.

Sesi bengkel yang dikendalikan oleh Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir, Pustakawan Kanan PSB, telah disertai oleh 116 orang pelajar tingkatan dua dan tiga. Dalam sesi ini, beliau menerangkan konsep asas biblioterapi serta cara pemilihan bahan bacaan yang sesuai untuk membantu remaja menghadapi tekanan, kebimbangan dan konflik emosi. Pendekatan interaktif melalui sesi perkongsian, latihan refleksi dan soal jawab turut menarik minat pelajar untuk lebih terbuka memahami nilai positif yang dapat diperoleh daripada aktiviti membaca. Program ini bukan sahaja memberi ilmu baharu, tetapi turut membantu pelajar mengenal pasti peranan bacaan sebagai terapi diri yang berkesan.

Secara keseluruhannya, Bengkel Biblioterapi ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca untuk kesejahteraan mental dan emosi. Ia juga menjadi platform efektif bagi mengeratkan hubungan strategik antara Perpustakaan Sultan Badlishah dan pihak sekolah melalui aktiviti pembelajaran yang bermanfaat. PSB berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh budaya membaca serta memupuk keseimbangan intelektual dan emosi dalam kalangan generasi muda.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply