Merbok, 1 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan Bengkel Speed Reading bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok, Kedah. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembudayaan ilmu di bawah Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025, yang menyokong KPI 5 (Program Budaya Ilmu) dan PI 8 (Program Kolaborasi Perpustakaan). Tujuan utama program ini adalah untuk memperkenalkan kaedah dan teknik bacaan pantas kepada pelajar, sekaligus membantu mereka meningkatkan kecekapan dan tahap pemahaman dalam membaca.

Sesi ini dikendalikan oleh Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), dengan bantuan Encik Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi dan Encik Mohd Amin Zainol, Pembantu Pustakawan Kanan. Seramai 57 pelajar SMK Merbok telah menyertai bengkel ini yang dijalankan secara interaktif melalui latihan bacaan pantas, pengiraan kadar bacaan per minit, serta pendedahan tentang faktor yang mempengaruhi kelajuan membaca. Pelajar juga didedahkan kepada strategi mengatasi tabiat membaca perlahan dan cara mengekalkan fokus semasa membaca, di samping menilai sendiri tahap peningkatan keupayaan membaca mereka selepas sesi latihan.





Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu meningkatkan kelajuan dan keberkesanan bacaan dalam kalangan pelajar. Melalui pengisian yang menyeronokkan dan berinformasi, pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu tetapi turut membina keyakinan diri untuk membaca dengan lebih pantas dan efisien. Penganjuran program seperti ini membuktikan komitmen PSB dalam memperkukuh budaya membaca serta memperluas manfaat literasi kepada komuniti luar kampus, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing.
Penulis: Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi