Shah Alam, 29 September 2025 – Program Kepimpinan Pelaksana Perpustakaan UiTM (PROKEP 2025) telah bermula hari ini dengan pelbagai pengisian berfokus kepada pembangunan kompetensi, kepimpinan, dan kesejahteraan warga perpustakaan. Program ini menghimpunkan kumpulan pelaksana dari seluruh Perpustakaan UiTM bagi memperkukuh peranan mereka sebagai pemacu kecekapan, inovasi, dan kecemerlangan organisasi.
Slot pertama menampilkan Puan Nor Azwani binti Mohamad, Timbalan Ketua Pustakawan, dengan tajuk “Tadbir Urus Tangkas Memacu Kecekapan Proses dan Kecemerlangan Perpustakaan”. Beliau menekankan kepimpinan pelaksana berteraskan tadbir urus tangkas dalam memperkukuh aspek ketelusan, integriti, akauntabiliti, serta kecekapan proses yang menjadi teras kecemerlangan perpustakaan.
Slot kedua dibawakan oleh Dr. Norraidah binti Abu Hasan, Ketua Unit APEL UiTM, bertajuk “Transformasi Kerjaya Melalui Pendidikan”. Beliau menerangkan bagaimana APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) menjadi mekanisme pengiktirafan pembelajaran terdahulu yang mampu memperluas akses pendidikan melalui pengalaman kerja dan pembelajaran tidak formal, seiring dengan keperluan pendidikan sepanjang hayat.
Slot ketiga menampilkan Professor Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad, Pengarah Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik, UiTM Shah Alam, dengan pembentangan bertajuk “AI for Work Productivity”. Beliau menjelaskan peranan teknologi kecerdasan buatan sebagai pemangkin produktiviti kerja melalui automasi tugasan, penjanaan idea, dan pemprosesan pintar. Beliau turut mengetengahkan platform terkini seperti Gemini, Gamma, Napkin AI dan Suno sebagai contoh aplikasi AI yang menyokong inovasi dan mempercepatkan penyelesaian kerja harian.
Slot keempat, yang diadakan pada sebelah malam, membawakan ceramah motivasi bertajuk “Kesihatan Mental dan Pengurusan Emosi di Tempat Kerja” oleh Encik Syawal bin Samin, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Ceramah ini memberi penekanan kepada kepentingan pengurusan tekanan, pembinaan sokongan sosial di tempat kerja, serta kepentingan mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.
Program PROKEP 2025 bukan sahaja berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu, malah menjadi ruang untuk kumpulan pelaksana memperkukuh kompetensi, membina kepimpinan berdaya tahan, dan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa. Melalui gabungan topik tadbir urus, transformasi pendidikan, aplikasi AI, dan kesejahteraan mental, PROKEP 2025 diyakini dapat memperkasakan warga perpustakaan sebagai tunjang kepada kecemerlangan Perpustakaan UiTM.