PROGRAM SOKONGAN PENYELIDIKAN:  ADVANCE LITERATURE SEARCH USING SCOPUS BERSAMA AKADEMI PENGAJIAN BAHASA (APB), UiTM CAWANGAN MELAKA

25 September 2025 | Khamis – Selaras dengan aspirasi memperkasa literasi maklumat dan memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan warga akademik, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Program Sokongan Penyelidikan: Advance Literature Search Using Scopus secara dalam talian melalui Google Meet. Program yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah berjaya menarik penyertaan aktif seramai 53 orang pensyarah APB yang komited menyertai sesi perkongsian ilmiah tersebut.

Sesi ini telah disampaikan oleh Cik Hazlin Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP), PTAR UiTM Cawangan Melaka, yang berkongsi strategi pencarian literatur berkesan untuk tujuan penyelidikan melalui pangkalan data Scopus, salah satu pangkalan data terkemuka dunia.

Objektif bengkel ini adalah :

  1. Memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi, struktur dan kandungan pangkalan data Scopus. 
  2. Membimbing peserta dalam melakukan pencarian maklumat yang tepat dan efisien menggunakan pelbagai strategi dalam Scopus.
  3. Meningkatkan kemahiran peserta dalam menganalisis maklumat bibliometrik seperti h-index, sitasi, dan jurnal berimpak.
  4. Menyokong peningkatan kadar penerbitan berkualiti tinggi di kalangan penyelidik UiTM.
  5. Menyokong sasaran strategik universiti ke arah pengantarabangsaan, penyelidikan dan penerbitan

Sesi ini turut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung, mengemukakan persoalan, cadangan dan pandangan, sekali gus membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam konteks kajian masing-masing.

Program ini memperkukuh peranan perpustakaan sebagai rakan strategik penyelidikan, sejajar dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan penyelidik yang bukan sahaja celik maklumat, malah mampu mengakses, menilai dan mengurus maklumat secara berintegriti, efisien dan beretika. Ia juga menyokong inisiatif universiti dalam memperkasakan budaya penyelidikan dan penerbitan ilmiah, seterusnya menyediakan asas kukuh ke arah pencapaian matlamat strategik institusi dalam landskap pendidikan tinggi global.

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan usaha berterusan PTAR UiTM dalam menyokong kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan ilmiah. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Cik Hazlin Ibrahim Khan atas kepakaran, komitmen dan perkongsian ilmu yang amat bermanfaat sepanjang sesi berlangsung. Usaha sebegini diharap dapat diteruskan secara berterusan selaras dengan matlamat universiti dalam mengekalkan kecemerlangan penyelidikan serta meningkatkan pencapaian di peringkat global.

Diharapkan inisiatif sebegini dapat dilaksanakan secara berkala, terancang dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem penyelidikan yang holistik, dinamik dan kompetitif di UiTM.

Sekitar taklimat sedang dijalankan

Ditulis oleh : Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka

Avatar photo
Hazlin Ibrahim Khan PTAR Alor Gajah Melaka

Leave a Reply