Bicara Buku : Menyelusuri Sejarah, Mengukuhkan Kedaulatan

Sempena bulan Kemerdekaan Malaysia yang ke-68, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah menganjurkan Program Telaah : Bicara Buku Bersama Penulis bertempat di Ruang LCE, PTAR UiTMCPP pada 3 September 2025. Program yang berlangsung pada jam 10.00 pagi turut disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube rasmi PTAR UiTMCPP yang boleh diulang tonton di https://www.youtube.com/watch?v=22gVbdnYbfo

Sesi wacana ilmiah ini menampilkan Prof. Madya Dr. Azmi Arifin, Pensyarah Kanan dari Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia sebagai panel utama yang membicarakan buku Sejarah Malaysia : Wacana Kedaulatan Bangsa, Kenegaraan dan Kemerdekaan. Sementara itu, Dr. Muhammad ‘Arif Aizat Bashir, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan, UiTM Cawangan Pulau Pinang turut memberikan dimensi menarik dalam mengemudi perbincangan ilmiah ini.

Antara perbincangan dalam program ini mengupas pandangan dan pemikiran sejarah baharu berhubung pelbagai isu penting, antaranya identiti bangsa, kedudukan institusi beraja, dasar kolonialisme, perjuangan anti penjajah dan semangat kebangsaan. Menurut panel, sejarah bukan sekadar catatan peristiwa lampau tetapi harus dihayati dengan jiwa dan perasaan agar dapat menzahirkan rasa patriotisme yang lebih mendalam dalam diri masyarakat.

Di akhir sesi, cenderahati kepada panel dan pengemudi program telah disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Ketua Perpustakaan Cawangan PTAR UiTMCPP. Sebagai tanda penghargaan, Prof. Madya Dr. Azmi Arifin turut berbesar hati menyumbangkan sebuah buku tulisannya bertajuk Isu-isu dan Naratif Baharu Persejarahan Politik Malaysia kepada PTAR UiTMCPP. Beliau juga berkesempatan melawat Pameran “Dua Generasi Satu Legasi : Ulama dan Pemimpin Negara dari Kepala Batas” yang dianjurkan oleh Unit Arkib Universiti.

Secara keseluruhannya, Program Telaah : Bicara Buku Bersama Penulis telah berjaya memberi pendedahan ilmiah mengenai sejarah Malaysia kepada para penonton yang hadir di dalam majlis ilmu ini samada secara fizikal atau secara maya. Perkongsian bersama penulis bukan sahaja memperkayakan ilmu pengetahuan, malah turut menyalakan semangat patriotisme dalam kalangan peserta.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply