Merbok, 17 Julai 2025 – Sesi Libat Urus Perkhidmatan Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) bersama Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) adalah inisiatif untuk memberi pendedahan tentang perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Perpustakaan UiTM dan mengadakan perbincangan untuk mendapatkan maklum balas Ketua Pengajian Program dan pensyarah-pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP). Sesi ini juga merupakan inisiatif bagi pencapaian Performance Index (PI1) Perpustakaan UiTM.





Objektif utama inisiatif ini adalah untuk memperkukuh hubungan antara perpustakaan dengan staf akademik melalui pendedahan dan perkongsian komprehensif mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Selain itu, inisiatif ini bertujuan untuk membuka ruang perbincangan dua hala dengan pihak kolej atau fakulti, membolehkan perpustakaan memahami keperluan spesifik mereka. Yang terpenting, ia juga akan menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan yang konstruktif, memastikan perkhidmatan perpustakaan sentiasa relevan dan berkesan dalam menyokong komuniti akademik.



Sesi Libat Urus Perkhidmatan Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) bersama Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) telah dilaksanakan pada 16 Julai 2025 (Rabu) dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Aras 2, Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan Unit Perkhidmatan Perpustakaan, Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP) Unit Sumber Rujukan Universiti dan Unit Arkib Universiti serta Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir, Pustawan Kanan Unit Perpustakaan Digital. Taklimat turut disampaikan oleh Encik Mat Asri Baharom, Pembantu Pustakawan Kanan dan Puan Noor Azlina Mat Esoff, Pembantu Pustakawan. Seramai 36 orang peserta terdiri daripada Ketua Pusat Pengajian (KPP), Cik Muna Bt Abdul Jalil, Koordinator Program dan pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) telah menyertai program ini. Sesi selama dua jam ini merangkumi penerangan dan perkongsian berkaitan perkhidmatan perpustakaan, penggunaan portal PERMATA, capaian koleksi digital, perkhidmatan literasi maklumat dan sokongan penyelidikan, proses cadangan pembelian bahan dan sasaran PI Universiti untuk mencapai Knowledge Society melalui “1 Warga, 24 Naskhah Bahan Bacaan”. Turut dikongsikan ialah format penulisan surat rasmi.
Penulis : Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan