Tarikh: 24 dan 25 Jun 2025
Masa: 10.00 pagi hingga 2.00 petang
Tempat: Parking Pusat Kegiatan Pelajar Non-Residen UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT)
Anjuran: Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT
Kerjasama : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Dungun
Penglibatan: 3, 517 orang terdiri daripada warga UiTMCT dan komuniti setempat
Dalam usaha merakyatkan universiti, Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Dungun telah mengadakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) pada 24 dan 25 Jun 2025. Jualan ini merupakan salah satu inisiatif yang diketengahkan sempena Karnival Perpustakaan 2025, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Bertemakan “Ilmu, Rahmah, dan Komuniti”, program ini turut membuka peluang kepada warga UiTM Terengganu dan komuniti setempat untuk mendapatkan barangan asas keperluan harian dengan harga berpatutan di samping memeriahkan lagi karnival yang diadakan.
Program yang diadakan di Ruangan Parkir Pusat Kegiatan Pelajar Non-Residen UiTMCT selama dua hari ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 3, 517 orang terdiri daripada warga UiTMCT dan komuniti setempat.



PJRM sempena Karnival Perpustakaan 2025 UiTMCT bukan sekadar program jualan, tetapi merupakan simbol komitmen bersama dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, keprihatinan, dan kecintaan terhadap ilmu. Melalui inisiatif ini, diharap lebih ramai masyarakat dapat merasai manfaat secara langsung dan bersama-sama menyokong matlamat Malaysia MADANI yang inklusif, sejahtera dan berdaya saing.
Secara keseluruhan, PJRM sempena Karnival Perpustakaan 2025 UiTMCT ini adalah sebuah inisiatif berimpak sosial yang menggabungkan elemen kebajikan, literasi, dan kemasyarakatan dalam suasana karnival. Dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, usahawan tempatan, dan masyarakat setempat, program ini turut memperlihatkan semangat Malaysia MADANI dalam tindakan iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, memperkasa komuniti, dan menyemai nilai keprihatinan secara menyeluruh.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada warga UiTMCT dan komuniti, malah menggalakkan budaya membaca, memupuk perpaduan masyarakat, dan menjadikan perpustakaan sebagai platform pemerkasaan sosial. Ia mencerminkan sinergi antara pengetahuan, kebajikan dan kemajuan, sesuai dengan semangat karnival yang inklusif dan menyeluruh.
Terima kasih diucapkan kepada pihak KPDN dan semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini demi kesejahteraan komuniti setempat.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.