Program CSR Vitamin Ilmu Siri 5: Celik AI Bijak Pustaka

Perpustakaan Tengku Anis telah menjalankan Program CSR Vitamin Ilmu Siri 5: Celik AI, Bijak Pustaka bersama SMK Pangkal Meleret dengan kerjasama Fakulti Sains Maklumat UiTM Cawangan Kelantan yang telah disertai seramai 53 orang pelajar termasuk guru sekolah. Program telah dijalankan pada 24 Jun 2025 bertempat di aras atas Perpustakaan Tengku Anis.

Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan asas tentang Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang kepustakawanan kepada pelajar sekolah, meningkatkan literasi digital dan teknologi dalam kalangan pelajar serta memantapkan kepimpinan dan disiplin pelajar sebagai seorang pengawas pusat sumber.

Program dimulai dengan majlis pembukaan dan ucapan aluan daripada Puan Nordelina Zulkarnain, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan. Menurut beliau program seperti ini amat bertepatan dengan usaha dalam membantu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga celik teknologi (AI) dan bersedia menghadapi cabaran dunia masa kini. Di samping itu, program ini bukan sahaja memperkasa fungsi perpustakaan sebagai pusat ilmu, bahkan memperluaskan akses pelajar kepada sumber maklumat dan teknologi terkini.

Antara pengisian program:

  • Aktiviti Literasi Maklumat: Speed Reading

Slot yang pertama bagi program ini dimulai dengan aktiviti literasi maklumat Speed Reading yang telah disampaikan oleh Puan Rosmariyati Ab Rahman, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP) Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan dibantu oleh beberapa orang staf sebagai fasilitator. Aktiviti ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep dan kepentingan bacaan pantas dalam kehidupan seharian dan pembelajaran, melatih peserta menggunakan teknik-teknik bacaan pantas, seperti skimming, scanning, chunking, dan teknik visual dan membantu pelajar memperbaiki prestasi akademik dengan cara pembacaan yang lebih strategik dan berkesan.

  • Taklimat Celik AI, Bijak Pustaka

Slot yang kedua diteruskan dengan taklimat Celik AI Bijak Pustaka yang telah disampaikan oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Beliau memberikan pendedahan asas kepada pelajar mengenai konsep dan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kehidupan seharian. Program ini bermula dengan penerangan mengenai apa itu AI, termasuk definisi dan contoh penggunaan AI dalam pelbagai bidang seperti telefon pintar, media sosial, pendidikan dan perubatan.

Selain itu, taklimat turut membincangkan aspek risiko dan etika penggunaan AI, menekankan kepentingan menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab dan beretika, serta mengelakkan penyalahgunaan seperti peniruan kerja atau penyebaran maklumat palsu.

Secara keseluruhan, taklimat ini berjaya membuka minda pelajar mengenai potensi dan cabaran AI, sekaligus menggalakkan mereka untuk menjadi pengguna dan pencipta teknologi yang bijak dan beretika di masa hadapan.

  • Pemantapan Peranan dan Etika Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS)

Slot yang terakhir bagi program ini adalah Taklimat Pemantapan Peranan dan Etika Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang telah disampaikan oleh Puan Norfitriah Mat Seman, Pustakawan Kanan
UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang.

Objektif taklimat ini diadakan adalah untuk memantapkan peranan dan tanggungjawab pengawas PSS sebagai agen sokongan kepada budaya ilmu di sekolah, meningkatkan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, berdisiplin dan berintegriti.

Program diakhiri dengan rumusan program oleh wakil pelajar sekolah, ucapan penutup daripada Puan Hamidah Mohd Yusof, Penolong Kanan Petadbiran SMK Pangkal Meleret, sesi penyampaian hadiah kepada pelajar terbaik lelaki dan perempuan serta sesi penyampaian hadiah dan sijil kolaborasi antara pihak perpustakaan, sekolah dan fakulti.

Program Celik AI Bijak Pustaka ini telah berjaya membuka minda pelajar terhadap kepentingan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia moden. Melalui pendedahan yang interaktif dan mudah difahami, pelajar bukan sahaja dapat mengenali konsep asas AI, malah memahami bagaimana teknologi ini digunakan dalam kehidupan seharian dan bidang pendidikan. Di samping itu, program ini turut menekankan kepentingan literasi maklumat serta penggunaan sumber pustaka secara bijak dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, program ini memberi impak positif dalam membentuk pelajar yang lebih celik teknologi, berfikiran kritis, dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Ia juga memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang menyokong pembelajaran berasaskan teknologi dan inovasi.

Pihak PTA juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah di atas jemputan untuk berkolaborasi bersama buat kali ini dan Fakulti Sains Maklumat yang sudi untuk bekerjasama dalam menjayakan program ini. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi manfaat bersama.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply