Pada 30 Julai 2024, bertempat di ruang LCE PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh telah diadakan Sambutan Maal Hijrah dan Majlis Perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang. Acara petang itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 10 yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Fauzan Md Nor, Imam UiTM Cawangan Pulau Pinang, diikuti dengan ceramah Al-Falah Pemacu Malaysia Madani yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Che Saad, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari.
Selesai sesi ceramah Maal Hijrah, majlis diteruskan dengan perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) oleh Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali. Pembangunan Sudut IQRA ini adalah salah satu inisiatif PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang bagi memenuhi konsep 3R (Religion, Race and Royal). Ianya merupakan ruang yang kondusif untuk pembelajaran dan interaksi berkaitan Al-Quran serta bacaan ‘self-healing’. Selain itu, matlamat utama Sudut IQRA’ (Rumah Ngaji@PTAR) ini adalah untuk menggalakkan penghayatan al-Quran dan pembudayaan ilmu dalam kalangan warga UiTM Cawangan Pulau Pinang serta komuniti sekitar.
Program Sambutan Maal Hijrah dan Majlis Perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang ini turut dihadiri oleh Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Tuan Haji Taufek Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Puan Zaiton @ Zariyah Abdullah; Penyelaras Pembangunan Sosio Ekonomi YaPEIM, Encik Fahmi Abdul Jamil; Ketua Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Ustaz Zamri Samsudin dan barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Di akhir majlis, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali diiringi Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan bersama tetamu jemputan melawat dan bergambar di Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR).
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan