Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu Kampus Dungun telah menganjurkan satu sesi taklimat khas berkonsepkan pelancongan dan konservasi yang terdapat di sekitar negeri Terengganu pada 18 April 2024, Khamis yang lalu, bertempat di Sudut AZKA@Library Community Engagement. Program yang bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 12.30 tengahari ini telah dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), UiTM Cawangan Terengganu.
Birding, Tourism, and Conservation Programme ini telah disampaikan secara eksklusif dan bersemuka oleh Mr. Cornelius Anuar McAfee Abdullah, Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA. Beliau merupakan seorang pensyarah, penulis, dan juga salah seorang daripada ahli Malaysia Nature Society (MNS) yang aktif dalam menjalankan kajian berkenaan keunikan spesis burung yang terdapat di negeri Terengganu.
Objektif program ini diadakan adalah:-
- memperkenalkan skop yang lebih luas terdapat di bahagian sektor pelancongan negeri Terengganu kepada pelajar FPHP; khususnya pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan (HM111) UiTMCT.
- meningkatkan ilmu pengetahuan dan daya saing pelajar FPHP UiTMCT khususnya berkenaan kepentingan usaha konservasi dan impaknya untuk generasi yang akan datang.
- mengadakan aktiviti pembudayaan ilmu secara sinergi antara UniSZA-UiTMCT melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman secara bersemuka dari pengkaji alam sekitar untuk manfaat pengetahuan warga kampus umumnya. dan para pelajar FPHP khususnya.
- menyokong pelan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) Nasional berfokuskan kepada SDG 4 iaitu ‘Quality Education’ dan ‘life on land’.
Pengisian program yang padat dengan pengalaman dan maklumat kajian terperinci yang disampaikan oleh penceramah yang pakar dalam bidang tersebu telah mendapat maklumbalas yang positif dari semua peserta yang hadir. Para peserta juga turut berpeluang bertanyakan pelbagai soalan kepada penceramah di akhir sesi taklimat tersebut.
Program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan dan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan. Penceramah jemputan juga turut berbesar hati menyampaikan sumbangan dua buah buku hasil tulis beliau sendiri yang bertajuk Bird of Terengganu: Burung-burung di Terengganu dan Birds of Universiti Sultan Zainal Abidin kepada Perpustakaan Cendekiawan sebagai bahan bacaan santai.
Semoga sesi kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan pembudayaan ilmu menerusi perkongsian maklumat yang tidak hanya tertumpu kepada topik pengajian akademik semata-mata. Bidang ilmu alam yang luas ini perlu diterokai dan diteruskan pemuliharaannya dari generasi ke generasi agar alam sentiasa terpelihara. Amatlah diharapkan agar program ini dapat mencetuskan minat warga UiTM Cawangan Terengganu dalam menyambung usaha murni memelihara alam semulajadi ini.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan