Program Bedah Buku bersama Penulis UiTM Cawangan Terengganu

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah menganjurkan Program Bedah Buku Bersama Penulis UiTMCT pada 17 Oktober 2023, Selasa yang lalu, bertempat di Sudut AZKA@Library Community Engagement.

Program ini dilaksanakan secara bersemuka dan bersiaran langsung pada platform Facebook selama satu jam bermula jam 10.00 pagi. Program yang berlangsung selama satu jam itu dikendalikan oleh En. Ahmad Fathi bin Azhari Azmi, Pembantu Pustakawan, selaku Moderator, manakala bedah buku disampaikan oleh Dr.Abd.Wahab bin Md.Ali, seorang penulis buku yang juga seorang Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTMCT.

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan buku yang ditulis oleh penulis dalaman UiTMCT, di samping menarik minat warga kampus untuk membaca melalui saluran perkongsian ilmu. Secara tidak langsung ianya juga membuka peluang kepada penulis-penulis baharu di kalangan warga kampus untuk mengetahui kaedah mengetengahkan bakat penulisan mereka dan bagaimana kaedah penerbitan karya kreatif dilaksanakan dari sudut pandangan penulis buku.

I

Buku yang bertajuk ‘Sehari Sepatah Ayat, Lama-lama Menjadi Nasihat’ adalah sebuah buku motivasi menggunakan konsep dakwah melalui penulisan. Buku ini telah berjaya mengetengahkan isu-isu yang berlaku dalam kalangan umat Islam dan dikupas dengan pendekatan yang santai dan mudah difahami. Setiap halaman yang dibaca dan diselak sarat dengan pelbagai nasihat dan teguran yang secara tidak langsung dapat membetulkan sikap dan cara kita berfikir dalam menanggapi sesuatu perkara.

Turut diselitkan dalam program ini adalah sesi ulasan buku tersebut oleh pembaca, Saudari Nur Hidayah binti Rosli, pelajar Latihan Industri Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT. Secara keseluruhannya program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus iaitu dengan kehadiran seramai 140 orang peserta yang terlibat; secara bersemuka dan atas talian. Walaubagaimana pun, e-merit hanya disediakan kepada pelajar yang hadir secara bersemuka sahaja, manakala jam latihan staf disediakan untuk semua staf UiTM yang hadir.

Saudari Nur Hidayah binti Rosli, Pelajar Latihan Industri, memberi ulasan buku.
Penyampaian cenderahati dari En. Shahrol Nizam Johol, Timbalan Ketua Pustakawan, kepada Dr. Abd. Wahab, Penulis Jemputan.

Dr. Abd Wahab, yang juga dikenali dengan nama penanya Abd Wahab Paloh Nyior, juga membuat jualan istimewa kepada semua warga UiTMCT dengan diskaun yang sangat menarik. Kepada yang berminat boleh mendapatkan naskah tulisan beliau ini di Kaunter Utama Perpustakaan Cendekiawan, selagi stok masih ada.

Secara keseluruhannya program ini telah mencapai objektif dengan jayanya. Syabas kepada semua yang terlibat. Semoga ianya dapat diteruskan pada masa akan datang.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply