Program Pendidikan Cakna Lestari Sempena Festival Cakna Lestari (Fes-CALE) 2023 UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK)

Pada 30 dan 31 Oktober 2023, Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTMCK Kampus Machang dengan kerjasama Unit Kampus Hijau UiTMCK telah menganjurkan Program Pendidikan Cakna Lestari Sempena Festival Cakna Lestari (Fes-CALE) 2023 bertempat di PTA.

Penganjuran program ini lebih memberi fokus dan penekanan terhadap pengisian program berbentuk pendidikan dan penyediaan ruang pameran khas bagi menjalankan aktiviti kelestarian. Selain daripada Unit Kampus Hijau, program ini juga berkolaborasi dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pentadbiran, Unit Komunikasi Korporat UiTMCK serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTMCK sesi 2022/2023.

Terdapat beberapa aktiviti dan program yang telah dijalankan bagi memeriahkan program ini yang melibatkan warga UiTMCK dan juga komuniti setempat. Antaranya adalah:

  • Greenation: Book Review

Program Greenation: Book Review ini telah dijalankan pada 30 Oktober 2023 (Isnin) secara hibrid iaitu bertempat di Ruang Library Community Engagement (LCE) dan siaran langsung melalui saluran YouTube PTA. Objektif program ini adalah untuk memupuk pemahaman, kesedaran dan pengetahuan warga UiTMCK mengenai alam sekitar dan aspek kelestarian kampus serta menyokong inisiatif Read@UiTM bagi meyokong Dekad Membaca Kebangsaan.

Gambar sepanjang program berlangsung

Panel bagi program ini ialah Dr. Muslim Ismail@Ahmad, Pustakawan Kanan PTA dan panel jemputan pensyarah kanan daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTMCK iaitu Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad. Para panel telah membuat ulasan buku koleksi PTA yang bertemakan alam sekitar, kebersihan, penjimatan tenaga, usaha kita semula dan lain-lain lagi.

πŸ”—Pautan siaran langsung: https://www.youtube.com/live/R5h6_F9bNck?si=F_wUhYmWG1W03FW1

Sesi penyampaian hadiah kepada panel jemputan dan gambar kenangan bersama AJK program

  • Bicara Cakna Alam Sekitar: “Undertanding Sustainability in Islam: A Way of Life”

Program ini adalah merupakan program perkongsian atau bual bicara oleh panel jemputan mengenai penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar serta ke arah kelestarian kampus UiTMCK. Program ini telah dijalankan pada hari kedua festival iaitu pada 31 Oktober 2023 yang bertempat di LCE. Program ini turut disiar secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi UiTM Cawangan Kelantan.

Objektif bagi program ini adalah untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran dalam kalangan warga UiTMCK mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dari sudut Islam. Selain itu untuk menjawab persoalan mengenai kebersihan dana penjagaan alam sekitar berdasarkan kajian yang telah dilakukan.

Gambar sepanjang program berlangsung

Moderator bagi bual bicara ini ialah Dr. Muslim Ismail@Ahmad, Pustakawan Kanan PTA bersama para panel jemputan iaitu Prof. Madya Sr. Dr. Nur Azfahani Ahmad, Ketua Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak dan Encik Zikrullah Ismail, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Strategik Lestari. Bual bicara ini melibatkan staf PTA dan juga pelajar SMK Hamzah 2 seramai 32 orang termasuk guru pengiring.

πŸ”—Pautan siaran langsung: https://youtube.com/live/-MMhWJD-7D4

Gambar kenangan bersama pelajar SMK Hamzah 2 dan AJK program

  • Pameran Cakna Lestari Alam Sekitar

Pameran Cakna Lestari UiTMCK ini memaparkan risalah poster berkenaan kempen alam sekitar, penjagaan alam sekitar, Sustainable Development Goals (SDGs) dan pameran barangan kitar semula. Pameran ini telah diadakan di ruang bacaan aras bawah PTA selama dua hari iaitu 30 dan 31 Oktober 2023. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bagi pengunjung pameran.

Gambar di sekitar pameran Fes-CALE

Program Pendidikan Cakna Lestari sempena Fes-CALE 2023 ini diakhiri dengan majlis perasmian dan penutup. Majlis turut dihadiri bersama barisan pengurusan kanan universiti, Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTMCK sebagai perasmi majlis serta diiringi oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor HEP, Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor PJIA, Puan Alina Hussein, Timbalan Ketua Pustakawan, Encik Mohd Bakeri Ab Rahman, Penyelaras Kampus Hijau merangkap Penasihat Program, Saudara Muhammad Firdaus Mohamed Sohaimi Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTMCK dan ketua-ketua bahagian.

Majlis dimulai dengan persembahan montaj program yang telah dianjurkan bagi Fes-CALE 2023 UiTMCK dan diteruskan dengan ucapan daripada Penyelaras Unit Kampus Hijau UiTMCK iaitu Encik Ahmad Bakeri Ab. Rahman. Selesai ucapan daripada penyelaras Unit Kampus Hijau, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada Rektor UiTMCK dan seterusnya merasmikan majlis perasmian penutup Fes-CALE 2023 UiTMCK.

Gambar di sekitar majlis perasmian penutup

Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan buku sumbangan daripada pihak PTA kepada wakil guru SMK Hamzah 2, penyerahan simbolik Bubu Harapan kepada Naib Yang-DiPertua MPP UiTMCK iaitu Saudara Muhammad Firdaus Mohamed Sohaimi dan penyampaian cenderahati kepada Tuan Rektor.

Kesemua program dan aktiviti yang dirancang sempena Fes-CALE ini telah berjaya dianjurkan dengan jayanya mengikut perancangan. Diharapkan agar hasil daripada penganjuran program ini dapat memberikan impak positif terhadap warga UiTMCK dan juga para pelajar ke arah peningkatan kesedaran ekosistem ‘Kampus Hijau’ menjelang 2025.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply