Jom Sihat@PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang 2023

Pada 6 Julai 2023, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Permatang Pauh dengan kerjasama Physio Student Association (PHYTAS) Kampus Bertam, Unit Kesihatan UiTMCPP dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah telah mengadakan program Jom Sihat@PTAR. Program yang berlangsung pada jam 8.30 pagi ini merupakan salah satu platform perkongsian ilmu serta penyampaian informasi mengenai kesihatan kepada warga kampus.

Program telah dimulakan dengan acara senamrobik bertempat di parkir kenderaan berhadapan dengan bangunan perpustakaan dan dikendalikan oleh pelajar-pelajar PHYTAS, UiTM Kampus Bertam. Sesi yang berlangsung selama 1 jam ini telah disertai oleh 58 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar, staf akademik dan staf pentadbiran UiTMCPP.

Program Jom Sihat@PTAR diteruskan dengan Program Read@UiTM : Sesi Perkongsian Buku bersama Encik Mohamad Hafiz Abu Seman, pensyarah Fakulti Sains Kesihatan, UiTMCPP Kampus Bertam. Beliau telah membuat perkongsian buku yang bertajuk “Sports Injury Prevention” oleh Profesor Roald Bahr dan Profesor Lars Engebretsen. Antara perkongsian yang telah disampaikan adalah kepentingan mengelak kecederaan serta cara mengurus kecederaan di dalam sukan.

Sementara itu, penyertaan bagi program derma darah turut menggalakkan. Dianggarkan seramai 50 orang peserta telah menderma darah bermula jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang.

Program Jom Sihat@PTAR ini juga membawakan perkhidmatan Physio Massage oleh Physio Student Association (PHYTAS) UiTMCPP Kampus Bertam kepada pelajar dan staf UiTMCPP dengan kadar bayaran yang berpatutan. Seramai 49 orang warga UiTMCPP telah mendapatkan perkhidmatan pelbagai urutan yang diadakan di Bilik Raudah, PTAR bagi pelanggan lelaki dan Bilik Tayangan, PTAR bagi pelanggan wanita.

Diharap dengan penganjuran Program Jom Sihat@PTAR ini dapat menarik minat warga UiTMCPP untuk meluangkan masa mengikuti aktiviti-aktiviti kesihatan yang dapat membantu tubuh badan menjadi lebih sihat dan aktif.

Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan

Avatar photo
PTAR Kampus Permatang Pauh

Leave a Reply