Pada 21 Jun 2023, Hari Terbuka Arkib UiTM Cawangan Pulau Pinang telah dilaksanakan di PTAR Kampus Permatang Pauh dengan kerjasama Arkib Negara, Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Hari terbuka ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran warga universiti tentang kepentingan rekod dan arkib serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengurusan kanan mengenai faedah pengurusan rekod untuk tadbir urus yang baik. Selain itu program-program yang telah disusun juga diharap dapat meningkatkan pemahaman warga UiTM tentang keperluan pemeliharaan dan akses arkib jangka panjang selain memajukan imej rekod dan arkib untuk meningkatkan ketampakan mereka di peringkat kebangsaaan dan global.
Program hari itu dimulakan dengan Taklimat Pengurusan Rekod Berperingkat yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Mairzar Bin Md Zaki, Penolong Pegawai Keselamatan Kanan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Pengelas, Pegawai Rekod Jabatan dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang telah mengikuti taklimat selama 1 jam itu.
Pelbagai aktiviti dan juga pameran telah diadakan iaitu Pameran Rektor UiTM Kampus Pulau Pinang, Pameran oleh Arkib Negeri Pulau Pinang dan Pameran bertajuk ‘Melayu Pulau Pinang’ oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Pengunjung hari terbuka juga berpeluang melihat demonstrasi penjilidan yang dilakukan oleh staf Unit Arkib Cawangan. Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah dalam sesi Kuiz Trivia Arkib yang diadakan sepanjang hari. Konsultasi pengurusan rekod dan rujukan bahan arkib juga disediakan kepada pengunjung yang berminat.
Program diteruskan lagi pada sebelah petang dengan Pengkisahan Melayu Pulau Pinang : Asal Usul Pulau Pinang bersama YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Mohd Yusoff Latiff, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Sesi pengkisahan yang menceritakan tentang perjuangan Melayu di Pulau Pinang pada zaman pemerintahan British sehingga kini diharap dapat memberi sedikit gambaran kepada para peserta tentang tujuan utama penubuhan PEMENANG dan fungsinya. Program bersama Presiden PEMENANG ini juga telah dihadiri oleh wakil guru-guru daripada sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar UiTM Cawangan Pulau Pinang, wakil daripada PEMENANG serta para pelajar dan pensyarah UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Penganjuran kali pertama ini telah menarik minat dan penyertaan seramai hampir 200 orang pengunjung yang terdiri daripada warga UiTM dan peserta jemputan daripada institusi luar UiTM. Diharap dengan penganjuran Hari Terbuka Arkib UiTM Cawangan Pulau Pinang ini dapat memberi pendedahan kepada warga UiTM tentang keperluan dan kepentingan Unit Arkib Universiti kepada institusi.
Disediakan oleh : Encik Muhammad Shahmi Mohd Sohairi, Pembantu Pustakawan