Program “Happy Learning Carnival”: Anjuran PTAR Kampus Bertam

Pada 27 Oktober 2022, PTAR UiTMCPP Kampus Bertam telah melancarkan Program Happy Learning Carnival bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Program ini bertempat di PTAR UiTMCPP Kampus Bertam melibatkan para pelajar dan staf UiTMCPP Kampus Bertam.

Pelbagai aktiviti yang menarik dan berinformasi telah berjaya dilaksanakan sepanjang program seperti Kempen Derma Darah, PTAR Got Talent, Mental Health Quizizz, Kuiz Pangkalan Data, LCC Match Game, Book Trolley Race dan Kempen Jom Pinjam Buku. Selain itu, program ini juga menyediakan beberapa perkhidmatan seperti Semakan Point MyKM, Pendaftaran UiTM Library Apps dan Perkhidmatan Booth Unit-Unit di UiTM Bertam. Antara Unit-unit yang telah mengambil bahagian ialah Unit Kaunseling, Unit Hal Ehwal Pelajar, Unit Kesihatan, Unit Kebudayaan, Unit Infostruktur, Fakulti Farmasi, Jabatan Fisioterapi, Jabatan Pemulihan Cara Kerja, Jabatan Teknologi Makmal Perubatan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran.

.

Bagi merealisasikan Kempen Derma Darah, PTAR UiTMCPP Kampus Bertam telah berkolaborasi dengan Unit Tabung Darah, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Seramai 60 peserta telah menyertai kempen ini dan sebanyak 48 beg darah berjaya diperolehi.

Dalam masa yang sama, PTAR juga turut menjalinkan kerjasama dengan pasukan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara . Pejabat Kesihatan Daerah memberi perkhidmatan Saringan Tibi secara percuma kepada para pelajar dan staf yang hadir ke program tersebut. Kedua-dua kerjasama ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus Bertam.

Program Happy Learning Carnival ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti PTAR Got Talent. Aktiviti ini adalah sebuah platform yang menggalakkan pelajar dan staf untuk tampil ke pentas mencungkil bakat terpendam mereka. Dengan keberanian yang ditunjukkan mereka, tidak hairanlah bahawa UiTMCPP Kampus Bertam mempunyai ramai pelajar dan staf yang berbakat terutamanya dalam bidang nyanyian.

Selain daripada mencapai matlamat program bagi menggalakkan warga UiTM Kampus Bertam berkunjung ke perpustakaan dan mempromosikan perkhidmatan, koleksi dan kemudahan perpustakaan, program ini dapat memupuk kesedaran mengenai kepentingan derma darah, mengasah bakat dan keyakinan pelajar, menambah ilmu pengetahuan mengenai pelbagai unit dan program yang ditawarkan di UiTMCPP Kampus Bertam serta menggalakkan aktiviti luar dewan kuliah.

Ikuti kami di:

Nurhayati Hassan PTAR Bertam P. Pinang

Leave a Reply