Bengkel Pemprosesan Teknikal Bahan Pusat Sumber di SMKA Kuala Abang

Pada 24 September 2022, Sabtu, telah diadakan satu Bengkel Pemprosesan Teknikal Bahan Pusat Sumber yang dianjurkan oleh Pusat Sumber SMKA Kuala Abang. Pihak Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, telah dijemput bagi memberi taklimat dan panduan kepada 30 orang pelajar Tingkatan 2, 3 dan 4, yang terdiri daripada Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Slot pertama telah disampaikan oleh Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan, mengupas tajuk pengelasan, pengkatalogan dan penyusunan buku di perpustakaan. Latihan amali memberi nombor panggilan pada buku-buku baharu juga telah dilaksanakan dengan baik oleh para peserta.

Manakala slot kedua pula dikendalikan oleh En. Mohamad Anuar Alias, Pembantu Pemuliharaan, memberi penerangan berkaitan pemuliharaan buku melalui jahitan asas dan teknik gam. Peserta juga ditunjukkan cara membuat buku nota untuk kegunaan sendiri, mahupun penjanaan kewangan di perpustakaan.

Turut hadir ialah En. Shahrol Nizam bin Johol, Timbalan Ketua Pustakawan, dan tiga orang staf perpustakaan yang lain sebagai fasilitator iaitu En. Sotar Wahab, Puan Nur Rohaya Razali dan Puan Siti Noorba’ayah Ahmad Zaini.

Program perkongsian ilmu ini merupakan salah satu program khidmat masyarakat perpustakaan kepada komuniti setempat, yang merupakan susulan daripada program webinar CSR Bersama Pengawas Pusat Sumber sekitar Terengganu yang diadakan bulan Ogos yang lalu.

Ustazah Rosleza Che Rahim yang merupakan Guru Perpustakaan dan Media, SMKA Kuala Abang, berpuas hati dengan kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Beliau juga berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan bagi meningkatkan penggunaan perpustakaan bagi kecemerlangan pelajar sekolah pada masa akan, datang. Bengkel tersebut berakhir jam 1.00 tengahari, dengan sesi bergambar kenangan bersama para peserta.

Disediakan oleh: Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply