Kursus Asas Pengurusan Fail Dan Rekod Kepada Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) Dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ)

Rekod adalah penting dalam urusan pentadbiran kerajaan termasuk pentadbiran sesebuah universiti. Ia menyediakan maklumat bagi perancangan, membuat keputusan dan juga merupakan asas kepada akauntabiliti kerajaan. Pengurusan rekod yang cekap dan efisien dapat membantu organisasi membuat keputusan yang tepat, meningkatkan produktiviti dan imej organisasi.

Oleh itu, Perpustakaan Tengku Anis (PTA) dengan kerjasama Unit Latihan, Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Kursus Asas Pengurusan Fail Dan Rekod Kepada Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) Dan  Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) yang berlangsung selama 2 hari bermula pada 2 hingga 3 Ogos 2022 (Isnin dan Selasa).

Kursus ini dijalankan secara bersemuka yang bertempat di HRD(A) UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang yang melibatkan semua Pengawai Rekod Jabatan dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan daripada semua bahagian.

Objektif kursus ini diadakan adalah untuk:

  1. Mengetahui asas pengurusan fail dan rekod secara teori.
  2. Memberi kefahaman dalam tugas-tugas mengendalikan fail dan rekod.
  3. Memberi kefahaman tentang keperluan pengendalian rekod sepertimana yang diperuntukkan di dalam Akta Arkib Negara 2003 [Akta 629].
  4. Melaksanakan urusan sistem fail dengan sistematik mengikut piawaian dan prosedur pengurusan rekod yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.
  5. Mengaplikasi proses pengurusan rekod dengan betul mengikut standard dan panduan yang dikeluarkan oleh Arkib Negara Malaysia

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan daripada Jabatan Arkib Universiti (JAU) PTAR UiTM Shah Alam iaitu Puan Azniza Mohamad Nor, Pegawai Arkib dan dibantu oleh Wan Nur Khalidah Wahed, Penolong Pegawai Arkib. Beliau memberikan taklimat dan berkongsi pengetahuan serta cara yang betul dalam menguruskan fail dan rekod jabatan.

Kursus ini mendapat maklum balas yang positif daripada semua peserta yang hadir dan mereka berharap agar kursus seperti ini dianjurkan lagi pada masa hadapan. Pihak PTA dan Pentadbiran UiTMCK berharap agar kursus ini dapat membantu peserta mengaplikasikan ilmu yang dikongsi oleh penceramah dalam menguruskan fail dan rekod jabatan masing-masing.

Kursus diakhiri dengan ucapan penutup daripada Encik Hishamudin Mohamad Twontawi, Timbalan Pendaftar UiTM Cawangan Kelantan dan majlis penyampaian cenderahati kepada para penceramah jemputan.

Pautan ‘slide’ kursus : https://kelantan.library.uitm.edu.my/pages/puitm-kelantan/upcoming-event/latest-at-ptar/107-announcement/505-kursus-asas-pengurusan-fail-dan-rekod

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTM Cawangan Kelantan

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply