Taklimat Kesedaran Kesihatan UiTMCT: Teknik Asas Pertolongan Cemas

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun, dengan kerjasama Unit Kesihatan UiTMCT telah mengadakan sesi Taklimat Kesedaran Kesihatan:Teknik Asas Pertolongan Cemas pada 30 Jun 2022, Khamis yang lalu. Ianya telah diadakan secara bersemuka di ruang majalah Perpustakaan Cendekiawan dan juga disiarkan secara langsung di Facebook Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu.

Sesi bicara pakar yang berlangsung selama satu jam ini telah disampaikan oleh En. Ahmad bin Tuan Cob, Penolong Pegawai Perubatan, dan dikendalikan oleh Cik Asmahani binti Abdullah, Pustakawan Kanan, selaku moderator program. Antara perkongsian utama yang disampaikan adalah berkenaan teknik pertolongan cemas yang boleh membantu sekiranya berada dalam situasi kecemasan. Penceramah juga banyak memberi contoh situasi kecemasan di tempat kerja. Kemahiran asas pertolongan cemas seperti ini amat penting sebagai satu sokongan awal bagi membantu menyelamatkan nyawa mangsa sementara menunggu bantuan tiba.

Seramai 430 orang staf seluruh UiTM telah sama-sama hadir menjayakan sesi taklimat ini. Perkongsian yang disiarkan secara langsung di Facebook Perpustakaan Cendekiawan juga meraih sebanyak 593 tontonan. Maklumbalas daripada peserta taklimat ini kebanyakannya dilihat berpuashati dengan perkongsian yang disampaikan walaupun mengalami sedikit masalah teknikal audio semasa program.

Kesedaran pertolongan cemas ini diharap dapat memberi pendedahan kepada semua peserta agar tidak panik dalam mengendalikan situasi kecemasan, lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan kaum keluarga dan rakan terdekat. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai tujuan dan objektif yang telah ditetapkan, di samping menyokong universiti mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-3 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply