Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Arkib Universiti (JAU)

Tanggal 25 Mei 2022 hari Rabu bermula jam 11:00 pagi telah melakar detik bersejarah buat JAU apabila Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor telah sudi merasmikan bangunan baharu JAU, UiTM.

Dengan kehadiran tetamu seramai 40 orang, majlis perasmian ini telah turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) YBhg. Prof. Dr. Mohamad Hariri Abdullah, dan Pengurusan Kanan universiti. Majlis dimulai dengan ucapan oleh Encik Jamalludin Hj. Sulaiman. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada semua staf PTAR dan pihak yang membantu merealisasikan Majlis Perasmian Bangunan JAU. Menerusi majlis perasmian ini, beliau turut menyatakan bahawa fungsi arkib sebagai repositori rekod organisasi semakin penting. Justeru, beliau menyeru jabatan dalaman UiTM memainkan peranan menyimpan rekod-rekod penting menerusi penyerahan rekod penting kepada JAU.

Majlis perasmian diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Naib Canselor UiTM. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada warga kerja PTAR atas penganjuran Majlis Perasmian Bangunan JAU. Beliau turut menyorot kembali perkembangan JAU sejak penubuhannya empat puluh tahun lalu iaitu pada tahun 1982 sebagai Unit Arkib. Dengan perubahan yang dialami seiring dengan perkembangan semasa, kini JAU mempunyai koleksi melebihi 500,000 bahan yang merangkumi pelbagai jenis antaranya fail peribadi, fail pentadbiran, peta, imej, keratan akhbar, audio visual dan pelbagai lagi.

Seiring dengan agenda pemerkasaan transformasi pendigitalan PTAR, JAU telah mempunyai sistem automasi yang dibangunkan oleh kepakaran dalaman PTAR. Sistem Pengurusan Arkib atau Archive Management System (AMS) telah diaplikasikan di seluruh sistem JAU termasuk di tiga belas (13) cawangan arkib UiTM seluruh negara. Kini, akses terhadap koleksi JAU telah menjadi lebih mudah, pantas dan lebih meluas capaiannya. Bagi menyediakan perkhidmatan yang memenuhi piawaian kualiti, operasi JAU ialah berdasarkan piawaian antarabangsa iaitu ISAD (G): General International Standard Archival Description- Second Edition.

Dengan keluasan ruang yang lebih luas dan kondusif hasil pengubahsuaian seunit Dewan Makan Kolej Kenanga yang menelan belanja sehingga dua juta ringgit, bangunan baharu JAU ini mampu menampung kehadiran pengguna berjumlah seratus orang pengguna pada satu masa. Sejak memulakan operasi secara rasmi di bangunan baharu JAU pada 2 Januari 2019, ianya telah menyelesaikan isu kesesakan ruang seperti dialami sebelum ini di Dewan Seri Budiman.

Majlis Perasmian Bangunan JAU turut merakamkan pelancaran satu lagi repositori yang bernilai buat universiti. Repositori Minda NC (Naib Canselor) ialah sebuah repositori yang merekodkan aspirasi, kepimpinan, pencapaian, anugerah dan pengiktirafan oleh Naib Canselor UiTM. Repositori ini akan merekodkan detik kecemerlangan dan pembangunan UiTM untuk dijadikan rujukan oleh setiap generasi.

Di akhir ucapannya, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor turut berharap menerusi penyerahan salah satu ruang di Kompleks Kenanga ini sejak 27 Oktober 2016, JAU akan terus memainkan peranan sebagai sumber rujukan dokumentasi universiti bagi generasi akan datang.

Sebelum majlis berakhir, para hadirin telah menyaksikan montaj pelancaran sistem AMS dan Repositori Minda NC. Pautan montaj boleh dilayari seperti berikut:

  1. Perasmian Bangunan Jabatan Arkib Universiti: https://youtu.be/GFe4PAp0jFo
  2. Sistem Pengurusan Arkib (AMS): https://youtu.be/PE-B4US2WwI
  3. Repositori Minda NC UiTM: https://youtu.be/RAegY7RCXFI

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply