Ucapan Aluan

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Saya memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat-Nya, IQRA’ telah berjaya diterbitkan hasil kerjasama antara sidang redaksi IQRA’ dan penulis di Perpustakaan UiTM keseluruhannya.

Setiap keluaran IQRA’ menghimpunkan pelbagai berita yang berlangsung di Perpustakaan UiTM, samada berbentuk program, aktiviti, latihan, lawatan, ceramah, sukan, pencapaian dan khidmat masyarakat.

IQRA’ ialah wadah penghubung antara Perpustakaan UiTM dan pembaca. Berita-berita yang diterbitkan mencerminkan kesungguhan perpustakaan melaksanakan amanah mengemudi perpustakaan demi melihat kejayaan anak bangsa pada masa hadapan.

Tidak lengkap rasanya jika himpunan berita ini tidak diterbitkan demi rujukan generasi akan datang.

IQRA’ telah diterbitkan secara digital dalam format buku elektronik sejak tahun 2016. Ini bermakna telah enam tahun IQRA’ menyimpan berita tentang Perpustakaan UiTM secara atas talian . Kini IQRA’ telah diterbitkan dalam format portal berita digital dan menjadikan akses pembaca kini lebih pantas

Suatu hari nanti, IQRA’ akan mempunyai nilainya yang tersendiri terutama di kalangan penyelidik yang ingin merujuk tentang Perpustakaan UiTM.

IQRA’ dan penulisan perlu bergerak seiring. Penulisan ialah salah satu aktiviti pembudayaan ilmu. Penulisan bermula hasil cetusan daripada pembacaan menerusi pelbagai medium maklumat, samada bercetak mahupun elektronik. Melalui penulisan, ilmu pengetahuan individu akan berkembang dan mendorong kepada penciptaan maklumat baharu.

Memetik kata-kata penulis tersohor Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian”.

Akhir kata, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada sidang redaksi IQRA’ serta para penulis yang telah menyumbang kepada penerbitan IQRA’ kali ini. Semoga jasa baik tuan/ puan akan dibalas dengan sebaik-baik balasan jua.

Wassalam.

Encik Jamalludin Haji Sulaiman Ketua Timbalan Pustakawan Menjalankan Tugas Ketua Pustakawan UiTM

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply