Perpustakaan Tengku Anis, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan bakal menganjurkan satu webinar ilmiah bertajuk "Exploring Artificial Intelligence (AI) in Transforming University Learning: Challenges and Opportunities" pada 16 April 2025 (Rabu).
Webinar ini menampilkan Dr. Mohd Akmal Faiz Osman, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Kelantan, sebagai penceramah utama. Beliau akan mengetengahkan peranan penting teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam merubah landskap pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, termasuklah cabaran serta peluang yang terbuka dalam konteks pendidikan masa kini dan akan datang.
Program ini akan disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube rasmi Perpustakaan Tengku Anis, sekaligus memberi peluang kepada warga universiti dan masyarakat umum untuk mengikuti sesi perkongsian ilmu ini tanpa mengira lokasi.
Webinar ini dijangka menarik minat para pendidik, pelajar serta individu yang berminat dengan perkembangan teknologi dalam sektor pendidikan, khususnya dalam memperkasa pendekatan pembelajaran abad ke-21.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi Perpustakaan Tengku Anis atau mengimbas kod QR yang tertera di poster promosi.
"Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa" – UiTM terus komited dalam mendepani era digital menerusi perkongsian ilmu yang inklusif dan berimpak.