Program literasi maklumat untuk murid sekolah menengah daerah Pasir Puteh
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan akan menganjurkan Program Literasi Maklumat yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Kelantan.
Program ini dijadual berlangsung pada 1 Julai 2025 bersamaan 5 Muharam 1447H, bertempat di Aras 1, Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan, dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan tahap kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar, terutamanya dalam aspek pencarian, penilaian, serta penggunaan maklumat secara berkesan dan bertanggungjawab. Usaha ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat).
Dengan membawa tema “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”, program ini mencerminkan iltizam UiTM dalam membentuk generasi berilmu melalui pengukuhan literasi maklumat sebagai asas kecemerlangan akademik dan peribadi.
Program ini turut menzahirkan kolaborasi strategik antara UiTM dan PPD Pasir Puteh, sekali gus diharap menjadi inisiatif berterusan dalam memperkasa budaya ilmu di peringkat sekolah menengah.