BIOGRAFI
01
Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Malaysia’ telah dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Bapa beliau digelar Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Bin Mohd Taib iaitu daripada keturunan pahlawan Sulawesi, Indonesia yang datang ke Tanah Melayu untuk berdagang dan kemudian menetap di Pahang. Ibu Tun Abdul Razak bernama Hajah Teh Binti Daud dan merupakan orang biasa. Tun Abdul Razak adalah daripada keluarga yang bertaraf bangsawan dan hidup dalam serba kemewahan. Oleh itu, keluarga beliau amat disegani di kalangan penduduk Pekan, Pahang. Meskipun dilahirkan dalam keluarga bangsawan, Tun Abdul Razak menjalani kehidupan yang tidak berbeza daripada orang lain. Beliau dibesarkan secara sederhana keran bapanya tidak mahu beliau hidup dalam kemewahan. Di peringkat awal zaman kanak-kanak, beliau tinggal di Pulau Keladi, Pekan, Pahang iaitu rumah datuknya. Apabila bapa beliau telah dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke Temerloh, Pahang, Tun Abdul Razak telah dihantar untuk tinggal bersama datuk sebelah bapanya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan dalam suasana kampung yang penuh disiplin.
02
14 Januari 1976 – YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein telah kembali kerahmatullah di London pada 14 Januari 1976 jam 6.30 petang waktu Malaysia. Berita mengenai pemergian Allahyarham telah disampaikan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn ke seluruh negara menerusi Radio Televisyen Malaysia. Allahyarham telah pergi ke London untuk menjalani rawatan akibat penyakit ‘acute leukemia’ yang dihidapi olehnya. Jenazah Allahyarham telah diterbangkan dengan penerbangan Khas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kemudianya di bawa ke kediamaan Allahyarham di Sri Taman, Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.