Saudara-saudara sekalian,
Saya sungguh sukacita kerana dapat turut bersama menyaksikan Upacara Peralihan, Amanah Pertahanan dan Keselamatan Wilayah Kelantan daripada Briged Ke empat Infanteri Malaysia kepada Briged Ke lapan Infanteri Malaysia pagi ini.
Inilah pertama kali upacara seperti ini pernah diadakan di dalam Angkatan Tentera kita. Sungguhpun ianya sederhana akan tetapi besar ertinya.
Sepertimana saudara-saudara sedia maklum, hari ini kita masih menghadapi ancaman pengganas-pengganas komunis dan anasiranasir anti-nasional. Meskipun kedudukan keselamatan pada amnya terkawal, kegiatan komunis masih berjalan dan mereka terus menerus menentang segala usaha Kerajaan untuk membina negara kita dan menyatupadukan rakyat. Mereka tidak akan dapat berleluasan sekiranya tidak mendapat sokongan dan kerjasama dari setengah-setengah golongan rakyat yang bersikap anti-nasional. Rakyat hendaklah memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan supaya mengekalkan keamanan supaya menjamin kemakmuran dan kebahagiaan.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan keselamatan kita atas kejayaan mereka menentang gerakan komunis. Dalam hal ini, Angkatan Tentera Malaysia telah memainkan peranan yang sangat penting. Briged Ke empat Infanteri Malaysia khasnya telah bertanggungjawab atas pertahanan dan keselamatan wilayah Kelantan, Trengganu dan Pahang sejak tahun 1966. Tugas dan tanggungjawab yang dibebankan kepada mereka tidaklah hanya gerak langkah menghapuskan komunis dan anasiranasir sabversif akan tetapi membantu Kerajaan di dalam projek pembangunan negara, memberi pertolongan sewaktu banjir dan Iain-lain bantuan yang diperlukan oleh negara.
Dilihat dari segi luas kawasan dan tugasnya, tidaklah dapat dinafikan bahawa tanggungjawab Briged Ke empat Infanteri Malaysia adalah berat. Sungguhpun demikian, mereka telah menjalankan tugas-tugas mereka dengan cemerlang dan penuh kejayaan.
Memandang pada keperluan masa depan yang semakin bertambah, Kerajaan telah menubuhkan Briged Ke lapan Infanteri Malaysia untuk ditempatkan di Kota Bharu. Penubuhan Briged ini termasuk dalam rancangan pembesaran Angkatan Tentera. Dengan adanya Briged Ke lapan di kawasan ini maka pertahanan dan keselamatan wilayah Kelantan serta Trengganu dapat dijalankan dengan lebih sempurna.
Kejayaan Briged Ke lapan Infanteri Malaysia yang baru ditugaskan bergantung bukan saja kepada kecekapan dan ketegasan mereka melaksanakan tugas-tugas mereka akan tetapi juga bergantung kepada sikap dan kerjasama daripada rakyat tempatan. Saya sukalah menyeru penduduk-penduduk wilayah ini supaya memberi kerjasama penuh kepada anggota-anggota Angkatan Tentera di dalam usaha mereka menghapuskan musuh negara.
Ancaman komunis dan anasir-anasir anti-nasional hendaklah ditentang bersama demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran. Hasrat ini dapat dicapai melalui kerjasama yang erat, perasaan muhibbah dan saling mengerti di antara rakyat dengan Angkatan Tentera. Bagaimanapun, gerakan tentera hendaklah dijalankan serentak dengan gerakan memenangi hati rakyat—winning the heart and mind of the people—supaya seluruh rakyat berada di pihak kita dan bekerjasama dengan Kerajaan setiap masa.
Saudara-saudara sekalian,
Briged Ke empat Infanteri Malaysia telah banyak berbuat jasa bukan saja menjamin ketenteraman di dalam wilayah ini bahkan juga memberi segala pertolongan dan kerjasama kepada rakyat terutama sekali sewaktu banjir tiap-tiap tahun. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas atas bakti dan kejayaan mereka yang cemerlang.
Kepada anggota-anggota Briged Ke lapan Infanteri Malaysia pula, sungguhpun buat permulaan Briged ini mengalami serba kekurangan, saya percaya ini tidak akan menghalang setiap anggota daripada pegawai hingga perajurit dari menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab mengawal pertahanan dan keselamatan wilayah ini.
Dengan ini, saya dengan rasminya mengisytiharkan bahawa mulai hari ini, 1hb Mac, 1973, tugas dan tanggungjawab keselamatan wilayah negeri Kelantan dan Trengganu diserahkan kepada Briged Ke lapan Infanteri Malaysia daripada Briged Ke empat Infanteri Malaysia.