Pada 13 Julai 2022 (Rabu), Unit Arkib Cawangan (UAC), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka telah menerima kunjungan enam (6) orang pelawat dari Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor yang diketuai oleh Puan Mawar Noor binti Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) UiTM Cawangan Johor dan empat (4) orang pelawat dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Puan Jamilah binti Md Yusoff, Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Negeri Sembilan.
Lawatan ini diadakan adalah untuk mengetahui keseluruhan berkaitan dengan hal ehwal Pengurusan Rekod Universiti di Unit Arkib Cawangan Melaka. Selain itu, mereka juga berhasrat mendapatkan pendedahan dan amalan terbaik bagi proses pembangunan Unit Arkib Cawangan Melaka.
Sesi lawatan ini dimulakan dengan kata aluan dari Puan Noor Hayati binti Abu Kassim, Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka dan diteruskan dengan sesi taklimat mengenai naik taraf Unit Arkib Cawangan Melaka dan hal ehwal Unit Arkib Cawangan Melaka yang disampaikan oleh Cik Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka. Sesi ini diakhiri dengan sesi lawatan di sekitar Unit Arkib Cawangan Melaka bagi melihat koleksi-koleksi yang dipamerkan dan ruang-ruang yang ada di Unit Arkib Cawangan Melaka.
Semoga hasil dari lawatan ini dapat membina jaringan kerjasama yang baik dalam memacu kecemerlangan operasi serta tadbir urus perkhidmatan perpustakaan dan memberi panduan kepada mereka dalam usaha pembangunan unit arkib di tempat masing-masing.
Disediakan oleh: Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah