Program Tela’ah@Resensi Buku bersama Penulis: Ziarah – Apabila Tamu Membawa Rahmat

Tarikh: 19 November 2025 (Rabu)
Masa 10.00 pagi – 12.00 tengah hari
Platform: Bersemuka dan secara langsung melalui Youtube Rasmi Perpustakaan Cendekiawan
Tempat Sudut AZKA @ Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT.
Anjuran: Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun
Dengan kerjasama: AZKA@PPZ
Penceramah: Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Syah, Penulis, Pendakwah Alumni Universiti Al- Azhar, Mesir.
Penglibatan: 717 orang peserta dari dalam talian dan bersemuka.

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun dengan kerjasama PPZ Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Program Tela’ah Bersama Penulis UiTMCT pada 19 November 2025, Rabu yang lalu, bertempat di Sudut AZKA@Library Community Engagement.
Program ini dilaksanakan secara bersemuka dan bersiaran langsung pada platform Facebook bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program yang berlangsung selama dua jam itu dikendalikan oleh Us.Dr.Abd.Wahab bin Md.Ali, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTMCT selaku moderator, manakala sesi resensi buku disampaikan oleh Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Syah, Penulis yang juga merupakan Pendakwah dan alumni Universiti Al-Azhar, Mesir.

Program Telaah @ Resensi Buku ini memberi tumpuan kepada karya bertajuk “Ziarah: Apabila Tamu Membawa Rahmat” hasil tulisan Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Shah. Buku ini mengetengahkan konsep ziarah dalam Islam sebagai amalan rohani yang bukan sekadar adat, tetapi membawa keberkatan, pahala dan jalinan kasih sayang sesama Muslim. Melalui program ini, para peserta berpeluang memahami nilai, hikmah dan adab ziarah yang digariskan penulis, serta meneroka mesej spiritual yang diketengahkan dalam pengalaman dakwah beliau.

Program menumpukan kepada pengenalan penulis dan gambaran umum buku, diikuti perbincangan tentang konsep ziarah dalam Islam beserta hikmah dan keutamaannya dalam mengukuhkan ukhuwwah. Pengisian turut merangkumi kupasan ringkas adab-adab ziarah, jenis-jenis ziarah seperti menziarahi orang sakit, jiran, ahli keluarga serta golongan memerlukan, serta perkongsian kisah dan pengalaman penulis yang memberi nilai pengajaran. Peserta juga diberi ruang untuk berdiskusi dan membuat refleksi tentang kepentingan menghidupkan budaya ziarah dalam kehidupan moden.

Harapan dari pihak penganjur agar Program Telaah @ Resensi Buku ini dapat membuka ruang kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan amalan ziarah sebagai budaya Islam yang membawa keberkatan dan mengukuhkan hubungan masyarakat. Melalui pendedahan kepada karya Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Shah ini para peserta bukan sahaja dapat menambah ilmu, tetapi turut terdorong mengamalkan nilai-nilai murni yang digariskan oleh penulis.

Secara keseluruhannya program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga kampus dengan mencatatkan kehadiran seramai 717 orang peserta yang terlibat secara bersemuka dan atas talian. E-Sijil penyertaan dan rekod jam kehadiran bagi staf UiTM turut disediakan oleh pihak penganjur.

Semoga program ini menjadi langkah kecil yang membawa impak besar dalam membentuk komuniti yang berkasih sayang, prihatin, dan berlandaskan ajaran Islam.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply