Merbok, 30 Oktober 2025 – Program Minggu Biblioterapi 2.0 telah berjaya dianjurkan oleh Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) dengan kerjasama Unit Psikologi dan Kaunseling (UPK) UiTM Cawangan Kedah. Program berimpak tinggi ini berlangsung selama empat hari, dari 27 hingga 30 Oktober 2025 bertempat di Ruang LCE, PSB, bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang. Penganjuran edisi kedua ini bertujuan memperkukuh kesejahteraan emosi dan mental komuniti kampus melalui aktiviti berteraskan biblioterapi dengan menggunakan bahan bacaan sebagai alat terapi minda dan emosi, seiring dengan usaha PSB memupuk budaya membaca yang menyihatkan jiwa.

Sesi Bengkel Asas Biblioterapi yang disampai oleh Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir,
Pustakawan Kanan Perpustakaan Sultan Badlishah.


Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan konsep biblioterapi sebagai salah satu kaedah terapi sokongan psikologi serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan emosi secara positif. Selain memberi ruang untuk refleksi diri dan perkongsian perasaan, Minggu Biblioterapi 2.0 turut bertujuan menggalakkan pelajar dan staf untuk memanfaatkan perkhidmatan perpustakaan melalui aktiviti interaktif dan santai yang dijalankan. Inisiatif ini juga memperlihatkan komitmen PSB dalam menyokong kesejahteraan holistik warga UiTM, dengan pendekatan yang kreatif dan inklusif terhadap kesihatan mental.







Sepanjang empat hari pelaksanaannya, pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuk Bengkel Asas Biblioterapi, Body Maps of Emotions, Focus Game, Self Reflection, dan Walk Healing. Program ini berjaya menarik penyertaan 817 orang peserta, menandakan sambutan yang sangat menggalakkan daripada komuniti kampus. Peserta turut menerima e-Merit, e-Sijil, serta berpeluang memenangi hadiah menerusi segmen Lucky Draw dan Free Gift. Secara keseluruhannya, Minggu Biblioterapi 2.0 telah mencapai objektifnya dengan cemerlang, mewujudkan sinergi bermakna antara PSB dan UPK dalam membina komuniti universiti yang seimbang dari segi intelektual, emosi, dan spiritual.
Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan