Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 8/2025 Anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah

Merbok, 15 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah telah menganjurkan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 8, bertempat di Sudut IT, bermula jam 3.30 petang hingga 4.30 petang. Program ini diadakan bagi memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan staf serta mengukuhkan kepakaran dan profesionalisme dalam bidang perpustakaan. Inisiatif ini juga bertujuan menjadikan perkongsian ilmu sebagai budaya organisasi yang berterusan dalam membentuk persekitaran kerja yang kolaboratif dan dinamik di UiTM.

Siri kali ini menampilkan dua orang penceramah, iaitu Puan Noor Azlina Hamzah dan Encik Mohd Amin Zainol. Sesi pertama disampaikan oleh Puan Noor Azlina Hamzah bertajuk “Tips Penulisan Kecemerlangan Operasi (OE)”. Beliau menjelaskan bahawa penulisan OE perlu menekankan matlamat utama inisiatif seperti peningkatan kecekapan, penambahbaikan perkhidmatan, dan pengurangan pembaziran. Perkongsian turut menyentuh tentang kaedah pelaksanaan seperti PDCA dan Kaizen yang menuntut kerjasama serta komitmen semua ahli pasukan. Menurut beliau, kecemerlangan operasi tidak boleh dicapai secara individu tetapi memerlukan semangat kolaborasi yang tinggi.

Perkongsian dari Puan Noor Azlina Hamzah, Pembantu Pustakawan Kanan.

Seterusnya, sesi kedua pula dikendalikan oleh Encik Mohd Amin Zainol dengan tajuk “Tips & Tricks dalam Google Sheet”. Beliau menerangkan kelebihan Google Sheet berbanding Microsoft Excel dari segi analisis data, kemudahan penggunaan, simpanan automatik, dan akses dalam talian. Encik Amin turut mengadakan latihan praktikal menggunakan formula asas, importrange, arrayformula, dan filter view bagi meningkatkan kefahaman peserta.

Perkongsian dari Encik Mohd Amin, Pembantu Pustakawan Kanan.

Seramai 19 orang staf hadir bagi memeriahkan program ini. Secara keseluruhan, program ini berjaya memberi pendedahan berguna kepada peserta tentang penulisan laporan OE yang berkesan serta kemahiran praktikal dalam penggunaan Google Sheet. Melalui perkongsian ini, staf bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan kerja harian tetapi juga membina semangat kerja berpasukan dan profesionalisme yang menjadi tunjang utama dalam mencapai kecemerlangan organisasi perpustakaan.

Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply