Lawatan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun Ke Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Kedah

Merbok, 9 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun melibatkan seramai 120 orang pelajar dan 5 orang guru pengiring. Lawatan yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga 10.30 tengah hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang suasana pembelajaran di peringkat universiti serta memperkenalkan peranan perpustakaan dalam menyokong kecemerlangan akademik. Program ini juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan luar dengan UiTM sebagai pusat ilmu dan rujukan masyarakat setempat.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat pengenalan oleh staf Perpustakaan Sultan Badlishah yang menerangkan tentang fungsi dan kemudahan yang disediakan, termasuk koleksi bahan bacaan fizikal dan digital, penggunaan komputer, capaian Wi-Fi serta sistem pinjaman buku. Pelajar turut diberi panduan tentang etika penggunaan perpustakaan serta kaedah mencari maklumat dengan berkesan melalui portal dan katalog dalam talian. Taklimat tersebut turut diselitkan dengan perkongsian ringkas mengenai kepentingan budaya membaca dan penggunaan sumber ilmiah yang berkualiti sebagai asas kepada kejayaan akademik.

Selepas sesi taklimat, para pelajar dan guru berpeluang melawat ruang pembelajaran dan bahagian koleksi perpustakaan, termasuk ruangan bacaan umum, bahan rujukan, jurnal serta majalah ilmiah. Suasana lawatan berlangsung dengan penuh interaksi apabila pelajar menunjukkan minat terhadap pelbagai kemudahan dan koleksi yang ditawarkan. Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk minat membaca, menggalakkan semangat pembelajaran sepanjang hayat, serta memberi inspirasi kepada pelajar untuk melangkah ke menara gading pada masa hadapan.

Penulis: Zakaria Muhamad, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply