
11 September 2025 | Khamis – Bagi menyokong inisiatif meningkatkan visibiliti penyelidik UiTM di peringkat global serta memperkukuh budaya penyelidikan berimpak tinggi, Unit Jurnal dan Penerbitan Universiti (JPU) Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka, telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Profil Penyelidik di Google Scholar, Scopus dan Web of Science (WoS) secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Bengkel ini telah berjaya menarik penyertaan aktif seramai 73 orang penyelidik dan pensyarah UiTM yang terlibat dalam sesi perkongsian ilmu tersebut. Bengkel telah dikendalikan oleh Cik Hazlin Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (KUP)(M), PTAR UiTM Cawangan Melaka, bersama Dr. Raihah Aminuddin, Penyelaras Data Penerbitan Universiti (JPU), UiTM Cawangan Melaka, selaku moderator. Bengkel yang dijalankan secara interaktif ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan warga akademik merentasi pelbagai fakulti.
Objektif bengkel adalah:
- Memberi pendedahan mengenai pendaftaran nama penulis ke Google Scholar, Scopus, WoS kolaborasi bersama PTAR, UiTM Cawangan Melaka.
- Memudahkan pencarian rekod penerbitan para pensyarah dan UiTM Cawangan Melaka.
- Mewujudkan budaya penulisan dan penerbitan di kalangan staf UiTM Cawangan Melaka ke arah mencapai semua objektif kualiti yang ditentukan oleh UiTM Cawangan Melaka.
- Mencapai petunjuk prestasi (PI) dalam perancangan strategik UiTM Cawangan Melaka.
- Meningkatkan visibiliti UiTM Cawangan Melaka.
Penyertaan yang terdiri daripada penyelidik telah menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam penyediaan profil penyelidikan masing-masing. Selain itu, sesi soal jawab yang diadakan turut memberikan peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu yang sering timbul berkaitan ketidaktepatan metadata, duplikasi profil, serta pengurusan ID penyelidik.
Kesimpulannya, bengkel ini telah memenuhi matlamat penganjurannya dengan meningkatkan literasi penyelidik UiTM dalam pengurusan profil akademik yang sistematik dan terkini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Cik Hazlin Ibrahim Khan atas kepakaran, komitmen dan perkongsian ilmu yang amat bermanfaat sepanjang sesi berlangsung. Usaha sebegini diharap dapat diteruskan secara berterusan selaras dengan matlamat universiti dalam mengekalkan kecemerlangan penyelidikan serta meningkatkan pencapaian di peringkat global.







Sekitar bengkel sedang dijalankan
Ditulis oleh: Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka