
Pada 13 Jun 2025, Program Speed Reading @PTUU Siri 1/2025 telah dilaksanakan dengan jayanya di Makmal Komputer 1, Pusat IT, PTAR Undang-Undang. Program ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari. Seramai 7 orang pelajar dan seorang pensyarah telah mengikuti program ini.
Program yang dikendalikan oleh Puan Masnida Hanim Binti Che Mahmood, Ketua PTAR Undang-Undang selaku instruktor dengan dibantu oleh fasilitator Cik Zayani Binti Zakaria berkongsi teknik dan kaedah membaca pantas secara efektif untuk membantu para peserta meningkatkan kecekapan dan kefahaman dalam pembacaan.

Objektif program ini dilaksanakan adalah bagi memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik bacaan pantas, meningkatkan keyakinan diri ketika membaca, memupuk minat membaca serta menggalakkan pembacaan di kalangan peserta dan membina kompetensi pembacaan. Menerusi program ini peserta diajar kaedah untuk mengira kelajuan membaca bagi bahan bercetak dan atas talian. Selain itu, mereka juga dibimbing untuk mengenal pasti halangan-halangan yang sering mengganggu kelancaran bacaan pantas serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya.
Program ini memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan teknik yang diajar secara praktikal, sekali gus membantu mereka memahami kaedah membaca pantas dengan lebih mendalam. Diharapkan agar para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dan mengaplikasikannya dalam rutin pembacaan harian mereka.






