Shah Alam, 24 Januari 2025 – Seramai 11 orang staf PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP), yang diketuai oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTMCPP, telah mengadakan lawatan kerja ke PTAR UiTM Shah Alam. Lawatan ini bertujuan untuk memahami operasi dan sistem PERMATA serta melihat ruang, kemudahan dan koleksi yang terdapat di PTAR UiTM Shah Alam.
Sesi pertama lawatan dimulakan dengan taklimat Sistem PERMATA yang disampaikan oleh Encik Arshad Bujang, Pengarah Bahagian Perpustakaan Digital. Sepanjang sesi tersebut, pelbagai soalan telah diajukan oleh peserta berhubung dengan proses kerja sistem pencarian data bahan dan isu teknikal lain yang berkaitan. Interaksi yang penuh produktiviti ini membantu meningkatkan kefahaman peserta terhadap sistem PERMATA yang digunakan.
Seterusnya, sesi ‘townhall’ bersama Ketua Pustakawan, Tuan Ts. Haji Azizi Haji Jantan. Beliau berkongsi wawasan berkaitan hala tuju perpustakaan, yang menekankan aspek peningkatan teknologi AI, pengurusan bahan perpustakaan, pembangunan ‘skill set’ staf, serta transformasi perpustakaan ke arah yang lebih maju dan relevan. Beliau turut menekankan kepentingan Arkib Universiti sebagai khazanah ilmu untuk dijadikan sumber rujukan generasi akan datang.
Rombongan seterusnya dibawa melawat ke sekitar PTAR 1 termasuk ke ruang Bicara PTAR, yang sering menjadi lokasi program-program siaran langsung, dan ruang Koleksi Khas Jawi. Peserta turut kagum melihat karya bertulisan Jawi yang ditempatkan di ruang tersebut, hasil sumbangan individu dan komuniti, yang menjadi bukti pentingnya melestarikan warisan budaya ini.
Lawatan berakhir pada jam 6.30 petang dengan penuh bermakna. Pertukaran ilmu dan pengalaman ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman serta kecekapan staf PTAR UiTMCPP dalam menguruskan sistem perpustakaan ke arah kecemerlangan.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan