Dalam era transformasi digital yang pesat, pengurusan data yang cekap dan strategik menjadi asas kepada keberhasilan organisasi dalam membuat keputusan berasaskan data. London Stock Exchange Group (LSEG) Workspace merupakan platform inovatif yang menyediakan penyelesaian komprehensif untuk analisis data, pengurusan pangkalan data dan integrasi sumber data pelbagai dimensi.
Melalui LSEG Workspace, organisasi boleh mengakses alat analitik canggih, sumber data global serta ciri kerjasama waktu nyata yang direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan ketepatan keputusan. Namun, bagi memastikan penggunaan platform ini secara optimum, latihan dan pemahaman yang mendalam terhadap fungsi, keupayaan serta amalan terbaik pangkalan data adalah sangat diperlukan.
Oleh itu, PTA telah mengadakan Bengkel Pangkalan Data LSEG Workspace pada 19 Januari 2025 selama dua jam bermula 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari bertempat di Bilik IT, PTA. Bengkel ini dirancang untuk memberikan peserta pendedahan praktikal, pengetahuan teknikal dan panduan strategik dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi platform ini. Bengkel ini juga bertujuan untuk membina keupayaan organisasi dalam pengurusan data yang lebih sistematik, selaras dengan keperluan dunia korporat yang semakin kompleks.
Objektif bengkel ini adalah:
- Memberikan peserta pemahaman mendalam mengenai fungsi, keupayaan, dan ciri-ciri utama LSEG Workspace sebagai platform pengurusan data dan analisis.
- Melatih peserta dalam teknik pengurusan pangkalan data yang efisien, termasuk penciptaan, pengendalian, dan pengoptimuman data menggunakan alat-alat yang disediakan oleh LSEG Workspace.
- Membimbing peserta untuk menganalisis data dengan tepat dan membuat keputusan strategik berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui platform ini.
Penceramah jemputan bagi bengkel ini adalah Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu. Bengkel ini telah dihadiri oleh pensyarah-pensyarah UiTM Cawangan Kelantan.





Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang