17-18 September 2024 – Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dengan kerjasama PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh dan Yayasan Restu telah mengadakan Bengkel Kaligrafi Islam yang berlangsung di ruang Library Community Engagement (LCE). Bengkel ini telah disertai oleh 26 orang peserta yang terdiri daripada staf UiTM, komuniti dan pelajar sekolah berumur 10 tahun ke atas.
Antara tujuan utama bengkel ini dijalankan adalah untuk melestarikan kaligrafi Islam dengan melahirkan komuniti penulis khat yang mengetahui teknik yang betul tentang kaedah asas penulisan khat. Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta telah diberikan peralatan menulis khat iaitu batang resam, dakwat dan kertas latihan menulis khat. Peserta turut diberi peluang menulis dan membuat latihan penulisan khat dengan bantuan serta tunjuk ajar oleh pengajar daripada Yayasan Restu.
Di akhir bengkel, semua peserta berlatih menulis mushaf Al-Fatihah dan peserta yang dapat menulis dengan cantik berpeluang mendapat hadiah yang telah disediakan. Hadiah dan sijil penyertaan telah disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Ustaz Zamri Samsudin, Ketua UHEI UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan