Program Bacaan Kitab Syamail Muhammadiah

Telah berlangsung Program Bacaan Kitab Syamail Muhammadiah bertempat di Sudut AZKA @ Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Cendekiawan pada 8 Jun 2024, Sabtu yang lalu. Program anjuran Persatuan Mahasiswa Muamalat(PMM) dengan kerjasama Perpustakaan Cendekiawan ini telah disampaikan oleh Dr. Abd Wahab Md Ali, Pensyarah,Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Terengganu.

Program ilmu berkonsepkan keagamaan ini memfokuskan kupasan Kitab Syamail Muhammadiah kemudian diiringi qasidah dan selawat. Asy-Syamail Muhammadiah adalah kitab yang membahaskan tentang keperibadian dan akhlak Rasulullah S.A.W. yang menghuraikan pelbagai riwayat tentang keperibadian dan karakter Rasulullah S.A.W. dengan terperinci. Bermula dari bentuk fizikal,tubuh,hidung,rambut,pakaian,kasut dan pedang,kemudian diikuti dengan cara baginda  berjalan, makan, minum dan banyak lagi. Kitab ini didukung oleh hadis-hadis berserta sumber periwayatannnya. Di samping itu, kitab ini juga turut dilengkapi dengan beberapa gambar alatan dan pakaian peninggalan Rasulullah S.A.W. yang kekal terpelihara di muzium dan yang terdapat dari buku-buku sejarah peradaban Islam dunia.

Mencintai Allah dapat dizahirkan melalui ikutan kepada sunnah-sunnah rasulNya. Dengan mengenali keperibadian Baginda tentulah akan lebih mengenali dan menghayati perjuangan dan sifat kehambaan Baginda kepada Allah S.W.T.

Program ini telah disertai oleh seramai 150 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar ACIS UiTM Cawangan Terengganu, pelajar-pelajar dari Persatuan Pelajar Muamalat (MuSA), UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, serta beberapa orang pelajar dari Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin Dumai, Indonesia.

Secara keseluruhannya, program yang bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari ini telah mencapai objektif yang ditetapkan. Semoga program ilmu seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang demi memberi keseimbangan tuntutan agama dan duniawi seluruh warga UiTM, terutamanya kepada generasi muda.

Disediakan oleh: En. Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply