Knowledge Fest 2024: Read, Explore & Collaborate

Pada Rabu, 5 Jun 2024, pelajar program Sarjana Sains Pengurusan Maklumat (CDIM770-FLP), Pusat Pengajian Sains Maklumat, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Matematik (KPPIM) UiTM Kampus Puncak Perdana dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Perpustakaan Tungku Anis UiTM Cawangan Kelantan dan Pusat Pengajian Sains Maklumat, UiTM Kampus Rembau dan Kampus Machang telah menganjurkan program Knowledge Fest 2024: Read, Explore & Collaborate.

Antara pengisian program termasuklah Bengkel Speed Reading yang disampaikan oleh Encik Mohd Aizat Abd Halim. Pustakawan Kanan PTAR UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang memberi fokus tentang asas dan latihan peringkat pemulaan bagi bacaan pantas. Program tersebut dijalankan secara hibrid di Bilik Smart Classroom, PTAR Kampus Rembau dan di Bilik IT, PTA Kampus Machang yang dihubungkan menerusi sidang video Webex selama dua jam melibatkan pelajar semester satu (1) program Diploma Pengurusan Maklumat.

Segmen seterusnya adalah Forum Bersama Alumni dengan topik “Stereotaip Seorang Pustakawan” sempena Hari Pustakawan Malaysia. Antara panel jemputan yang mengulas topik tersebut termasuklah Encik Mohd Rozan Ab Mutalib, Ketua Pustakawan INTI College, Puan Raja Nur Ashykin Raja Iskandar, Ketua Pustakawan SEGi University dan Dr. Ranita Hisyam Shunmugam, Pensyarah Universiti Malaya bersama moderator, Cik Nur Balqis Ridzuan, Pustakawan Taylor’s University. Forum yang diadakan hampir dua jam tersebut dipancarkan secara langsung menerusi saluran Facebook dan YouTube Perpustakaan Tun Abdul Razak dan Perpustakaan Tungku Anis.

Program diteruskan lagi dengan Webinar Literasi Maklumat: Citation of Sources Using APA yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Hazrul Hussin, Pustakawan Kanan PTAR UiTM Shah Alam, yang memberi pendedahan tentang asas sitasi bahan rujukan menggunakan format APA. Sesi tersebut dijalankan secara hibrid di Bilik Smart Classroom, PTAR Kampus Rembau dan di Bilik IT, PTA Kampus Machang yang dihubungkan menerusi sidang video Webex selama dua jam melibatkan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat.

Secara keseluruhan, program ini telah memberikan impak yang amat positif kepada semua pihak terutama pihak penganjur yang julungkali menjalankan program kerjasama startegik antara perpustakaan dan pihak fakulti dan pelaksanaan program secara hibrid. Terima kasih juga diucapkan kepada semua peserta dan pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Disediakan oleh: Muhammad Shafiq Amirullah, Pustakawan PTAR Kampus Rembau

Avatar photo
Muhammad Shafiq Amirullah PTAR Rembau N. Sembilan

Leave a Reply