Bengkel ‘Speed Reading’ Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah mengadakan Bengkel Speed Reading di Dewan Jasmin UiTMCT Kampus Dungun pada 30 Mei 2023, Selasa, yang lalu. Penganjuran bengkel ini adalah susulan daripada Program Siaran Langsung bertajuk Teknik Speed Reading: Apa dan Bagaimana  yang telah diadakan pada 3 April 2023, Isnin tempohari. Bengkel ini telah melibatkan 36 orang staf akademik dan staf pentadbiran dari ketiga-tiga kampus UiTMCT iaitu Dungun, Bukit Besi dan Kuala Terengganu.

Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu Puan Hani Liza binti Norfin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Shah Alam, sebagai Instruktor Speed Reading. Beliau dibantu oleh Puan Azura Mohamad Hashim CHRM, Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR UiTM Shah Alam, dan Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT, selaku fasilitator program.

Antara objektif bengkel adalah untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada para peserta warga UiTMCT untuk mengaplikasikan penggunaan kemahiran dan teknik bacaan pantas untuk menguasai ilmu. Membaca dengan teknik yang betul dapat meningkatkan tahap pembacaan serta pengetahuan, sekaligus dapat menjimatkan masa. Pengisian bengkel ini dimulakan dengan sesi ramah mesra (ice-breaking), pengenalan Speed Reading, diikuti dengan penerangan berkenaan kemahiran Speed Reading seperti Fixation, Super Skimming dan Scanning & Latihan Visual Gulp. Peserta juga diberi pelbagai latihan kendiri secara individu dan berkumpulan bagi mengenalpasti tahap kepantasan membaca dalam diri masing-masing. Bengkel ini seterusnya telah diakhiri dengan rumusan bengkel di sebelah petang.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada warga UiTMCT dalam menguasai ilmu pengetahuan berkaitan membaca pantas, di samping dapat memberi motivasi serta pemangkin dalam meningkatkan kualiti membaca pantas dalam diri peserta.

Program berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan oleh En. Shahrol Nizam Johol, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT, serta sesi bergambar kenangan bersama semua peserta bengkel. Rekod jam latihan staf UiTM dan e-sijil turut disediakan kepada semua peserta yang menyertai bengkel.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply